Oleh
Suhana A. Samat
PILIHAN Raya Presiden Indonesia pada 8 Julai ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan dijangka membentangkan senario yang menarik.
Gandingan pertama ialah di antara Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, 60 tahun, dengan calon naib presidennya, Encik Boediono, 66 tahun, mantan Gabenor Bank Indonesia.
Gandingan kedua ialah di antara Pengerusi Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) pimpinan Cik Megawati Sukarnoputri, 62 tahun, yang bertanding dengan Encik Prabowo Subianto, 58 tahun, daripada Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).
Gandingan ketiga pula ialah Naib Presiden Indonesia ketika ini, Encik Jusuf Kalla, 67 tahun, daripada Parti Golkar, yang bergandingan dengan mantan jeneral, Encik Wiranto, 62 tahun, daripada Parti Hanura.
Apakah peluang setiap gandingan itu dan apa yang dijanjikan mereka kepada pengundi?
SBY
Dr Yudhoyono, yang lebih dikenali dengan panggilan SBY, menghadapi kegenjotan awal apabila terdapat parti pakatannya mengancam untuk berundur selepas beliau memilih Encik Boediono sebagai calon naib presiden.
Namun, pilihan itu dilihat sebagai satu langkah strategik.
Ini kerana jika Dr Yudhoyono memilih salah seorang daripada calon yang diajukan empat parti besar yang ingin menyertai pakatannya seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP), dikhuatiri akan ada rasa cemburu daripada pihak-pihak lain.
Selain itu, jika Dr Yudhoyono memilih Encik Hatta Rajasa daripada PAN sebagai calon naib presiden dan mereka menang, terdapat kebimbangan sepanjang penggalnya selama lima tahun mendatang, Dr Yudhoyono akan berada di bawah telunjuk Dr Amien Rais.
Dr Amien Rais ialah pemimpin PAN dan pernah bertanding sebagai calon presiden pada pilihan raya 2004.
Pemilihan Encik Boediono, yang bukan anggota sebarang parti politik, menunjukkan bahawa Dr Yudhoyono tidak takut memilih orang terbaik dan paling layak membantunya menghurai masalah negara.
Encik Boediono ialah teknokrat dihormati yang memegang beberapa jawatan berprofil tinggi dalam kabinet dan bank pusat.
Apakah kelebihan Dr Yudhoyono apabila bertanding semula kali ini?
Ketika dipilih rakyat secara langsung buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara itu pada September 2004, mantan jeneral empat bintang itu meraih 62 peratus undi.
Di bawah pentadbirannya, ekonomi Indonesia berkembang sebanyak 6.3 peratus pada 2007 - kadar paling rancak dalam tempoh sedekad.
Rizab tukaran asing juga meningkat 74 peratus kepada AS$60.5 bilion ($87.5 bilion), lapor agensi berita Bloomberg.
Beliau juga memperkenalkan undang-undang bagi menarik pelabur.
Dalam kempen kali ini, Dr Yudhoyono berikrar akan memastikan ekonomi Indonesia dapat mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7 peratus menjelang 2014 berbanding dengan 4.5 peratus sekarang.
Dalam satu tinjauan yang dijalankan antara 27 April dengan 3 Mei lalu oleh Institut Tinjauan Indonesia, 70 peratus daripada 2,014 responden memilih gandingan Dr Yudhoyono dengan Encik Boediono untuk menang.
Imej Dr Yudhoyono sekarang berbeza daripada imejnya apabila mula-mula menjadi presiden.
Dari segi kepimpinan, beliau pada mulanya dikatakan menghadapi masalah dengan kabinetnya yang terdiri daripada wakil pelbagai parti.
Ini kerana Parti Demokrat pimpinannya meraih peratusan undi yang kecil di Parlimen.
Encik Kalla, malah, ketika itu dikatakan lebih cekap dalam bertugas dan hampir kebanyakan urusan dalam negeri yang sukar diserahkan kepadanya.
Semasa mula menjadi presiden, Dr Yudhoyono juga berjanji akan menangani dwicabaran utama iaitu pengganasan dan rasuah.
Dalam aspek ini, rakyat Indonesia tidak dapat menolak hakikat bahawa negara itu bebas daripada serangan pengganas sejak tiga setengah tahun yang lalu.
Di bawah pentadbiran Dr Yudhoyono juga, Indonesia menamatkan konflik dengan kumpulan pemisah Aceh yang sudah berlarutan selama 30 tahun.
Rasuah juga dilihat rancak dibasmi dengan beberapa pegawai tinggi dan orang ternama ditahan.
Ini termasuk mantan Timbalan Gabenor Bank Pusat, Aulia Pohan, dan bapa mentua anak Dr Yudhoyono sendiri.
MEGAWATI
Dapatan Institut Tinjauan Indonesia menunjukkan bahawa 21 peratus responden menyokong gandingan Cik Megawati dengan Encik Prabowo.
Cik Megawati, anak perempuan presiden pertama Indonesia, Sukarno, memimpin Indonesia selama tiga tahun dari 2001 sehingga 2004.
Beliau menjadi presiden kelima Indonesia dan presiden wanita pertama negara itu selepas mengambil tampuk kepimpinan daripada Encik Abdurrahman Wahid, yang dilihat sebagai tidak cekap memimpin negara.
Namun, sepanjang pemerintahannya, Cik Megawati gagal mengatasi rasuah, silap tadbir dan pengganasan.
Beliau, malah, pernah dicabar agar berundur daripada kepimpinan PDI-P setelah parti itu meraih hanya 19 peratus undi dan kalah kepada Parti Golkar, yang mendapat undi terbanyak 22 peratus dalam pilihan raya parlimen pada 2004.
Meskipun demikian, ternyata Cik Megawati masih mampu bertahan untuk sekali lagi bertanding merebut jawatan presiden pada Julai ini.
Jika pada 2004 beliau memilih mantan Ketua nahdatul Ulama (NU), Encik Hasyim Muzadi, sebagai gandingan calon naib presidennya, kali ini, beliau memilih menantu mantan Presiden Suharto, Encik Prabowo, yang pada mulanya ingin bertanding jawatan presiden.
Gandingan itu memerlukan satu sama lain - Cik Megawati mempunyai sokongan parti serta rakyat, sementara Encik Prabowo mempunyai wang selain karisma.
Encik Prabowo berkata saudara lelakinya, Encik Hashim Djojohadikusumo, seorang usahawan, akan menampung perbelanjaan kempen pilihan rayanya kelak.
Ini termasuk menaja iklan-iklan di televisyen pada waktu perdana.
Encik Hashim dikatakan menjual syarikat Nations Energy, yang berpangkalan di Indonesia dengan harga AS$1.9 bilion ($2.7 bilion) kepada Citic Group dari China pada 1996.
Apa yang mereka janjikan kepada rakyat?
Gandingan ini akan memberi tumpuan pada sektor pertanian dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Indonesia.
Mereka juga bercadang menjadikan aset-aset strategik sebagai milik negara.
Kelemahan gandingan ini ialah rakyat mungkin masih belum dapat melupakan ketidakupayaan Cik Megawati mentadbir negara dengan baik sebelum ini.
Encik Prabowo pula mempunyai rekod hitam semasa berkhidmat sebagai ketua pasukan khas tentera Indonesia.
Pada 1998, beliau dipecat daripada angkatan tentera kerana terlibat dalam penculikan aktivis prodemokrasi.
JUSUF KALLA
Encik Kalla menyuarakan hasrat untuk bertanding sebagai calon presiden seawal Oktober 2005.
Sejak menjadi Pengerusi Parti Golkar pada Disember 2004, Encik Kalla memang dikatakan mempunyai pengaruh politik lebih luas dan kuat berbanding Dr Yudhoyono.
Ini memandangkan Parti Demokrat pimpinan Dr Yudhoyono hanya mendapat tempat kelima dalam pilihan raya parlimen pada tahun itu.
Namun, senario sekarang telah banyak berubah. Dalam pilihan raya parlimen April lalu, Parti Demokrat mendahului parti lain dengan meraih 20.85 peratus undi.
Parti Golkar, yang dipimpin Encik Kalla, menduduki tempat kedua dengan meraih 14.45 peratus undi.
PDI-P pimpinan Cik Megawati meraih 14.03 peratus
Gandingan Encik Kalla dengan Encik Wiranto dilihat sebagai gandingan paling lemah di kalangan pengamat.
Institut Tinjauan Indonesia meramalkan gandingan itu hanya mampu meraih 3 peratus undi.
Encik Wiranto pernah bertanding sebagai calon presiden pada 2004 tetapi gagal.
Pada 2003, Suruhanjaya Nasional Indonesia berkaitan Hak Asasi Kemanusiaan pernah menuduh Encik Wiranto, yang menjadi Menteri Pertahanan dan Keamanan pada 1998-1999, gagal menangani rusuhan yang berlaku pada Mei 1998 sehingga menyebabkan lebih 1,200 orang terkorban.
Beliau turut dituduh melanggar hak asasi kemanusiaan semasa keganasan tercetus di Timor Timur pada 1999, yang menyebabkan sekurang- kurangnya 1,000 orang terkorban.
Latar belakang Encik Wiranto mungkin akan menjejas peluang gandingan ini.
Dari segi pengalaman mentadbir negara, Encik Kalla mungkin tidak kurang pengalaman berbanding Dr Yudhoyono.
Sebagai naib presiden, Encik Kalla turut membantu memeterai perjanjian damai dengan kumpulan pemisah Aceh.
Beliau juga merupakan Menteri Perusahaan dan Perdagangan selama enam bulan pada 1999 sebelum dipecat oleh presiden ketika itu, Encik Abdurrahman Wahid.
Pada 2001, beliau dinamakan sebagai Menteri Penyelaras Kebajikan oleh presiden ketika itu, Cik Megawati.
Di bawah kapasiti itu, Encik Kalla membantu memeterai perjanjian damai untuk mengakhiri keganasan sektarian di Sulawesi.
Dalam kempen kali ini, Encik Kalla menjanjikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus dengan menangani masalah prasarana negara yang teruk.
Beliau turut membidas kebergantungan Indonesia ke atas pinjaman asing yang didakwa tidak dirunding dengan baik kerana memberi hanya sedikit manfaat kepada negara.
Sejauh ini, Encik Kalla dan Encik Wiranto cuba mendapatkan sokongan daripada Gabenor Yogyakarta, Sultan Hamengkubuwono X, dan beberapa ulama berpengaruh di Magelang, Jawa Tengah dan Jawa Timur.
Strategi itu sudah menampakkan kesannya apabila Pengerusi Nahdlatul Ulama (NU) dan Persatuan Muhammadiyah melahirkan sokongan mereka.
Imej kedua-dua calon itu, yang dilihat lebih menonjolkan ciri-ciri Islam, turut membantu. Isteri masing- masing juga bertudung.
RUMUSAN
Sejauh ini, Dr Yudhoyono dilihat sebagai calon favorit untuk mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua.
Beliau, bagaimanapun, perlu mendapatkan lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di separuh daripada 33 wilayah Indonesia.
Jika tidak ada gandingan yang berjaya mendapatkan peratusan undi serupa itu, pusingan kedua akan diadakan pada September ini di antara dua calon yang meraih peratusan undi tertinggi.
Berdasarkan kemenangan besar yang diraih oleh Parti Demokrat dalam pilihan raya parlimen bulan lalu, Dr Yudhoyono tidak mempunyai masalah menang dalam pilihan raya presiden pada Julai ini untuk berkhidmat sepenggal lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment