Pages

Saturday, October 11, 2008

Dr Koh Garis Lapan Strategi Untuk Menangi Semula Hati Dan Minda Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Okt(Bernama) -- Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, hari ini menggariskan lapan strategi parti, yang tewas teruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, untuk memenangi semula hati dan minda rakyat Malaysia.

Beliau berkata yang pertama ialah perspektif Gerakan Malaysia dan pendekatan bukan perkauman untuk menganalisis isu utama nasional, merangka kedudukan dasar, mencadangkan penyelesaian yang bersesuaian dan diterima dan inisiatif untuk mempromosikan perpaduan nasional dan pembinaan negara.

Ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional ke-37 di sini, Sabtu, Koh yang memangku jawatan presiden parti sejak persaraan Tun Dr Lim Keng Yaik lebih setahun lepas, berkata Gerakan akan juga lebih lantang dalam membangkitkan pelbagai isu dan perhatian di peringkat persekutuan dan negeri.

Persidangan perwakilan ini dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin parti komponen BN dan diplomat.

"Gerakan akan melakukan dua peranan. Ia kan akan menjadi suara orang ramai dari dalam Barisan Nasional dan menuju kepada pembaharuan BN yang diwakili sebenar oleh semua rakyat Malaysia. Gerakan akan juga menjadi parti pembangkang yang konstruktif dan berkesan di negeri di bawah Pakatan Rakyat," tambah beliau.

Ketiga, Koh berkata Gerakan akan membina semula dan mengukuhkan parti dalam semua aspek untuk mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan orang ramai dengan menubuh dan meneguhkan semula hubungan parti dengan orang ramai, meningkatkan perkhidmatan, menganjurkan aktiviti dan bersedia mendapatkan semula mandat orang ramai.

Keempat, parti ini juga bercadang untuk menemui semua dan menjalin perkongsian bijak dengan anggota masyarakat dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, bekerja untuk isu dan kepentingan bersama pada peringkat nasional, negeri dan tempatan.

Kelima parti ini akan bergerak dan memberikan motivasi kepada anggota parti dan mengambil masuk lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik dan latar belakang budaya dengan tumpuan kepada belia dan wanita untuk menjadikan Gerakan sebuah parti pelbagai kaum yang sebenar, tambah beliau.

Keenam, Koh, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata parti ini akan meningkatkan moral dan kualiti pemimpin dan anggota melalui peningkatan dan menaiktaraf latihan dan program politik untuk meneguhkan komitmen ideologi, meningkatkan pengetahuan, menaiktaraf kepimpinan, pengurusan dan kemahiran komunikasi.

Ketujuh, beliau berkata untuk menguatkan semula dan mengubahsuai pertubuhan dan kemasukan parti pada semua peringkat dengan menguatkan lagi biro parti pada peringkat pusat dan negeri.

Kelapan, Koh berkata Gerakan akan memperbaiki lagi strategi komunikasi dan perhubungan awam untuk membolehkan orang ramai dan parti untuk lebih memahami dan menyokong.

"Inilah apa yang kita hendak lakukan bersama untuk menjenama semula dan mengkaji kedudukan Gerakan. Barulah, Gerakan boleh menjadi kuat semula dan mungkin lebih kukuh sebelum ini," kata beliau.

Beliau berkata Gerakan akan berperanan lebih konstruktif ke arah sebuah negara yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan maju untuk semua rakyat Malaysia, mengatasi sebarang halangan perkauman dan agama.

Katanya tugas untuk strategi ini akan dimulakan serta merta selepas persidangan ini, dengan Koh dan semua pemimpin pusat yang baru dipilih di peringkat jawatankuasa perhubungan negeri dan pemimpin akar umbi utama.

"Kita mesti bergerak ke setiap negeri dan bahagian. Kita mesti menemui sebanyak mungkin rakyat Malaysia. Kita mesti bergerak dan memberikan motivasi kepada diri kita sendiri. Lagi pun, parti kita dinamakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau Parti Pergerakan Rakyat Malaysia. Nama itu mecerminkan parti ini sendiri," tambah Koh.

No comments:

Posting Terkini