Pages

Sunday, May 24, 2009

MAS SELAMAT DIPERCAYAI GUNAKAN LONGKANG UNTUK LARIKAN DIRI

KUALA LUMPUR: Pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari (gambar), yang ditangkap di Johor baru-baru ini dipercayai menggunakan longkang sebagai laluan utama pergerakannya selepas melarikan diri dari pusat tahanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa republik itu lebih setahun lalu.

Dia yang menggemparkan Singapura kerana melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road melalui tingkap tandas juga beberapa kali menukar pakaiannya, termasuk memakai pakaian wanita ketika dalam buruan.

Sumber berkata, Mas Selamat membuat perancangan melarikan diri selama setahun ketika melarikan diri pada 27 Ogos tahun lalu.

Menurut sumber, perancangan yang memakan masa selama setahun itu dilakukan dengan menguji selama mana pengawal pusat tahanan itu dapat membiarkannya di dalam tandas.

'Mas Selamat akan menguji selama mana pengawal ditugaskan membiarkan dia berada dalam tandas, berikutan semakin lama dia dibiarkan dalam tandas maka lebih cerah kejayaannya melarikan diri,' kata sumber itu.

Sumber itu berkata, selepas lari, dia yang memakai beberapa lapis pakaian sering menukarnya bagi mengelak dicam.

'Menyedari gerakan memburunya semakin hebat, dia bergerak dalam longkang sehingga tiba di tepi pantai Woodlands pada hari keempat selepas lari dari pusat tahanan,' kata sumber itu lagi.

Ditanya bagaimana Mas Selamat mampu berenang menyeberangi Selat Tebrau ke Stulang Laut, Johor Bharu tanpa dikesan, sumber itu berkata dia menggunakan pelampung lengan seperti yang digunakan kanak-kanak untuk berenang.

Selain menggunakan kegelapan malam, usahanya itu tidak mengalami kesukaran berikutan keadaan arus laut yang tidak kuat serta jarak ke pantai sebelah negara ini hanya sejauh dua kilometer.

Sumber itu berkata, ketika pasukan polis menyerbu rumah persembunyiannya di Kampung Tawakal, Skudai, 1 April lalu, Mas Selamat hanya sembunyi dalam almari.

'Polis percaya dia bersedia untuk ditahan kerana tidak mampu lagi hidup dalam buruan,' tambah sumber itu. -- BHM, Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini