LONDON: Pengganasan dan konflik masa lalu telah 'memburukkan' hubungan antara negara Barat dengan Dunia Islam. Tetapi kedua-dua pihak mesti bekerjasama menangani cabaran sejagat, kata Setiausaha Luar Britain, Encik David Miliband, kelmarin.
Beliau mengakui bahawa campur tangan London sejak Perang Salib dan zaman penjajahan hinggalah kepada serangan ke atas Iraq telah mewujudkan kecurigaan bagi banyak negara, dengan Perang Iraq mencetuskan 'kegetiran, kecurigaan dan kebencian'.
Namun, menurut beliau cabaran perubahan iklim, pengganasan dan krisis kewangan memerlukan usaha bersama hasil persefahaman yang lebih baik antara kedua-dua pihak, di samping satu huraian bagi konflik seperti di Timur Tengah.
Dalam satu ucapan di Pusat Oxford bagi Pengajian Islam (OCIS), Encik Miliband berkata sejarah hubungan antara Eropah dengan Dunia Islam 'ditandai dengan penaklukan, konflik dan penjajahan'.
'Dan yang terbaru, serangan ke atas Iraq dan akibatnya mencetus kegetiran, kecurigaan dan kebencian,' tegas beliau.
Sejak serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika fokus hubungan antara negara Barat dengan Dunia Islam semakin sempit, kata beliau.
'Pengganasan telah memburukkan pandangan kita terhadap satu sama lain dan memesongkan hubungan,' tambah beliau.
Tetapi menurut Encik Miliband keselamatan sejagat tidak dapat lagi dijamin oleh satu-satunya kuasa terunggul di dunia, atau kelompok kuasa besar.
'Ancaman perubahan iklim, pengganasan, wabak penyakit dan krisis kewangan adalah terlalu besar dan meluas. Oleh itu, kita perlukan seberapa luas yang mungkin gabungan negara-negara dan pergerakan politik,' kata beliau.
Meskipun kuasa Barat 'perlu berpegang teguh kepada nilai-nilai sendiri' sebarang gabungan kadangkala terpaksa menyertakan 'kumpulan yang matlamat mereka tidak kita kongsi bersama, yang nilai mereka tidak kita senangi dan kaedah mereka kita anggap meragukan,' kata Encik Miliband.
Kecurigaan mengenai konflik seperti Perang Iraq membayangi usaha menggunakan diplomasi dan bantuan bagi tujuan kemanusiaan, kata beliau.
'Kita perlu pulihkan semua gagasan asal (campur tangan liberal) yang merupakan gagasan yang bagus, baik dulu mahupun sekarang,' tambah beliau. Diplomasi secara aktif sangat diperlukan di Timur Tengah, tegas beliau. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment