TOKYO: Jepun semalam mengikuti jejak Mexico City melonggarkan langkah pencegahan penularan flu H1N1 atas alasan virus H1N1 tidak begitu berbahaya seperti yang dikhuatiri.
Sebaliknya Australia pula menaikkan tahap amaran selepas kes flu H1N1 yang disahkan meningkat kepada 11 orang.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Mexico City menurunkan tahap amaran flu H1N1 daripada kuning kepada hijau kelmarin setelah seminggu tiada jangkitan baru.
Datuk bandar Mexico City, Encik Marcelo Ebrard, berkata perubahan itu bermakna risiko jangkitan adalah rendah dan situasi dapat dikawal.
'Anda tidak perlu lagi memakai pelitup. Sekarang anda boleh pergi ke bandar tanpa sebarang risiko,' tegas Encik Ebrard.
Setiausaha Kesihatan Mexico City, Encik Armando Ahued, berkata tiada sesiapa yang dimasukkan ke hospital akibat flu sepanjang tiga hari yang lalu dan tiada kes H1N1 yang disahkan sejak 14 Mei.
'Kami nampak penurunan kes sebanyak 96.1 peratus. Sebab itulah kami menurunkan tahap amaran ke hijau hari ini,' kata Encik Ahued.
Sementara itu, kerajaan Jepun semalam menurunkan amaran lawatan tidak perlu ke Mexico.
Tokyo hanya menasihati rakyatnya supaya berwaspada semasa melawat Mexico kerana bimbang virus H1N1 bermutasi kepada bentuk yang lebih bahaya.
Meskipun jangkitan flu H1N1 di Jepun meningkat kepada 299 orang, tiada sebarang kematian, kata para pegawai.
'Flu baru (H1N1) ada persamaan besar dengan flu musiman,' kata Menteri Kesihatan Jepun, Encik Yoichi Masuzoe, kepada pemberita.
Oleh itu Jepun akan menamatkan pemeriksaan kuarantin bagi pesawat yang tiba dari Mexico dan Amerika Utara kecuali ada penumpang yang jatuh sakit. Mereka yang duduk dekat penumpang dijangkiti flu juga tidak akan dikuarantin.
Bagaimanapun, lebih 4,800 sekolah dan tadika akan terus ditutup, kata Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Australia, Cik Nicola Roxon, berkata langkah menaikkan tahap amaran flu di negara itu bertujuan membolehkan kerajaan mengawal penularan flu H1N1 dengan lebih berkesan.
'Ia membolehkan kami mengambil langkah mencegah penularan seperti menutup sekolah, seperti yang sudah dilakukan di Australia Selatan dan Victoria,' kata Cik Roxon.
Sementara itu, Amiriah Arab Bersatu (UAE) semalam mengkuarantin seorang penumpang pesawat dari Canada yang disyaki menghidap flu H1N1. Ini kes pertama di negara itu, kata Kementerian Kesihatan.
Akhbar Gulf News berkata seorang doktor rakyat Canada keturunan Pakistan dimasukkan ke hospital di Al-Ain, Abu Dhabi, selepas menunjukkan simptom flu H1N1. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment