Pages

Wednesday, May 20, 2009

Bekas OCPD Sabak Bernam lepas tuduhan menipu RM400,000

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Sabak Bernam, Asisten Superintendan Hashim Md Din dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan menipu seorang ahli perniagaan sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM400,000 kepadanya enam tahun lalu.

Hasim, 52, kini bertugas di Bahagian Narkotik Bukit Aman juga dilepaskan daripada pertuduhan pilihan, bersubahat dengan dua orang yang masih bebas melakukan perbuatan itu.

Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu setelah peguam Hasim, Akbardin Abdul Kader memohon agar anak guamnya itu dilepaskan dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan setelah pengadu, Yeoh Hock Hwa, seorang ahli perniagaan, gagal hadir di mahkamah hari ini.

Kes ini ditetapkan untuk perbicaraan selama tiga hari bermula hari ini.

Akbardin berkata bahawa sebelum ini pengadu pada 30 Mac telah memberitahu mahkamah bahawa beliau berhasrat menarik balik aduannya dengan mengatakan laporan polis timbul disebabkan salah faham di pihaknya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria membantah permohonan itu.

Rosbiahanin berkata beliau akan melepaskan tertuduh tanpa dibebaskan kerana pengadu sendiri tidak berhasrat meneruskan kes itu.

Mengikut pertuduhan utama, Hasim didakwa bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas, menipu Yeoh, 35, dengan memperdayakannya sehingga mempercayai bahawa dia (Hasim) boleh menukarkan RM400,000 menjadi RM1 juta.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 petang, 5 Julai 2003, di tepi jalan berhadapan Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, di sini. - Bernama

No comments:

Posting Terkini