Pages

Wednesday, May 20, 2009

11 termasuk 2 wakil rakyat dibebas

KUALA LUMPUR: Sebelas orang, termasuk dua wakil rakyat parti pembangkang yang ditahan semalam kerana menyertai demontrasi menyalakan lilin dipercayai sebagai bantahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak, dibebaskan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata mereka dibebaskan dengan jaminan polis secara berperingkat antara jam 3 dan 4 pagi tadi selepas keterangan mereka diambil.

"Mereka dibebaskan sejurus siasatan ke atas mereka selesai. Kami akan kaji dan siasat kes ini, sama ada mereka akan dipanggil semula untuk beri keterangan lanjut atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, 11 orang termasuk dua wakil rakyat; iaitu Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Chin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai Jenice Lee ditahan selepas menyertai demonstrasi nyalaan lilin di Seputeh pada jam 8.20 malam semalam.

Nyalaan lilin itu diadakan di luar pejabat anggota Parlimen Seputeh dari DAP Teresa Kok dan disertai berpuluh-puluh orang yang memakai baju-T hitam sebagai menandakan apa yang mereka dakwa "pembunuhan demokrasi di Perak". - Bernama

No comments:

Posting Terkini