NEW DELHI: Agensi perisikan India telah memintas ancaman baru terhadap 40 tokoh politik utama di India.
Ini termasuk ancaman bunuh terhadap Perdana Menteri India, Encik Manmohan Singh; Presiden Parti Kongres, Cik Sonia Gandhi; anak lelaki beliau, Encik Rahul; dan pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), Encik L.K. Advani, menjelang pilihan raya umum bulan ini, kata seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri India semalam.
Pegawai itu berkata pemimpin BJP, Encik Advani, termasuk sasaran paling utama kumpulan militan.
'(Encik) L.K. Advani ialah calon perdana menteri BJP. Itulah sebab beliau termasuk dalam senarai pemimpin yang hendak dibunuh kumpulan militan di India dan dari seberang laut,' kata beliau.
Menteri Dalam Negeri India, Encik P. Chidambaram, semalam berjumpa Encik Advani di kediaman pemimpin BJP itu dan memberitahu beliau ancaman terbaru terhadapnya.
'Menteri Dalam Negeri menasihati Encik Advani supaya jangan berucap pada rapat di luar jadual, terutama di kawasan yang terdedah kepada kekacauan semasa kempen pilihan raya,' kata pegawai itu.
Encik Chidambaram minggu lepas menasihati 40 tokoh politik dan ketua menteri supaya mengambil langkah berjaga-jaga semasa berkempan disebabkan ancaman bunuh.
Beberapa hari lalu, kumpulan militan dilapor merancang membunuh tokoh politik keluarga Nehru-Gandhi, Encik Varun Gandhi, yang dipenjarakan di wilayah Uttar Pradesh kerana ucapan berbau kebencian terhadap umat Islam.
Beliau kemudian dipindahkan ke penjara lain yang lebih selamat. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment