Pages

Friday, April 3, 2009

KHIR TOYO BELANJA RM1.6 JUTA BUAT 'LAWATAN' KE LUAR NEGERI

SHAH ALAM: Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, dan keluarganya serta pegawai kerajaan negeri yang lain membelanjakan hampir RM1.6 juta ($710,500) sebagai biaya dua lawatan ke luar negara, termasuk lawatan ke Paris dan Orlando Disneyland.

Senarai perbelanjaan itu termasuk lawatan pada 2004 ke Disneyland Paris dan persinggahan transit selama empat hari di Dubai.

Perbelanjaan itu ditanggung Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), lapor akhbar New Straits Times (NST) semalam.

Dr Mohd Khir merupakan mantan pengerusi PNSB.

Perkara itu didedahkan dalam siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berkaitan aliran kewangan Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Selangor (Balkis) kelmarin.

Antara pendedahan mengenai lawatan ke luar negeri antara 17 dengan 24 Disember 2004 itu ialah isteri Dr Mohd Khir, Datin Seri Zaharah Kechik, dan tiga anak mereka serta seorang orang gaji turut menyertai lawatan itu.

Delegasi rasmi membelanja sejumlah RM416,000 bagi lawatan tersebut.

Kumpulan awal yang pergi bagi membuat tinjauan sebelum lawatan rasmi membelanjakan RM366,000.

Persinggahan transit di Dubai membabitkan perbelanjaan RM10,000.

Menjawab soalan Selcat, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datin Khairiyah Abu Hassan, berkata lawatan ke Disneyland bertujuan mendapatkan pengetahuan teknikal bagi membangunkan taman bertema yang serupa di Bagan Lalang, Sepang.

Bagi 'lawatan teknikal' selama 10 hari ke Disneyland di Florida dan juga lawatan ke Honolulu, PNSB membelanjakan hampir RM750,000.

Daripada jumlah itu, RM110,000 adalah bagi membayar bilik hotel mewah Dr Khir.

Datin Khairiyah berkata rombongan mereka tidak bertemu dengan pihak pengurusan Disneyland tetapi sekadar mendapatkan khidmat pemandu pelancong.

'Anda tidak boleh meraih pengetahuan teknikal melalui pemandu pelancong. Kedua-dua lawatan ke Disneyland ini nampak seperti lawatan santai memandangkan ia diadakan pada bulan Disember,' kata Pengerusi Selcat, Encik Teng Chang Khim.

No comments:

Posting Terkini