LONDON: Seramai 16 orang dikhuatiri maut kelmarin apabila sebuah helikopter Super Puma terhempas di Laut Utara semasa pulang dari pelantar cari gali minyak ke timur laut Scotland.
Polis berkata lapan mayat sudah dijumpai tetapi operasi mencari lapan mangsa yang masih hilang ditangguhkan pada 10 malam, lapan jam selepas nahas berlaku.
Menteri Pertama Scotland, Encik Alex Salmond, kelmarin menyatakan rasa sedih dan terkejut atas kemalangan itu.
'Lapan mayat sudah dijumpai tetapi saya khuatir harapan menemui lapan mangsa lain nampaknya tipis,' kata beliau kepada pemberita di Aberdeen.
Syarikat minyak BP berkata helikopter itu membawa 14 penumpang dan dua kru dari pelantar minyak Miller, kira-kira 270 kilometer dari pantai apabila ia terhempas.
Syarikat KCA Deutag berkata 10 daripada pekerja termasuk antara penumpang helikopter, sembilan daripada mereka warga Britain.
Helikopter tersebut terhempas sekitar 2 petang, kata Agensi Maritima dan Pengawal Pantai (MCA).
Seorang jurucakap pengawal pantai berkata keadaan cuaca baik ketika helikopter terhempas.
Ratu Elizabeth II telah menghantar sepucuk surat peribadi bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Ini adalah helikopter Super Puma kedua terhempas di Laut Utara dalam masa enam minggu.
Pada Februari lalu, 18 orang dalam sebuah helikopter Super Puma diselamatkan selepas terhempas di Laut Utara. -- AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment