Pages

Tuesday, February 24, 2009

Rebat Tunai Dihenti 31 Mac Adalah Muktamad

KUALA LUMPUR, 24 Feb -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata keputusan kerajaan memberhentikan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan sebagai ganti subsidi petrol pada 31 Mac ini adalah muktamad.

Katanya pelaksanaan sistem itu yang berkuatkuasa Julai lepas sudah tidak relevan berikutan trend penurunan harga minyak semasa.

"Bukan mungkin lagi (memang akan dihentikan). Pembayaran rebat ini kita buat untuk tempoh setahun, jadi semua pemilik kenderaan dan motosikal mesti mendapatkan rebat dalam tempoh berkenaan berasaskan kepada pembaharuan cukai jalan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan promosi "Produk Malaysia Citarasa Kita" dan "Kempen Beli Barangan Malaysia di sini, Selasa.

Katanya jika terdapat pemilik yang gagal menuntut rebat tunai itu dalam tempoh berkenaan Shahrir belum pasti kaedah yang patut dilakukan pemilik kenderaan berkenaan.

"Pembayaran rebat tunai bermula dari April 2008 hingga Mac 2009, jadi dalam masa setahun itu mereka yang ada kenderaan dan motosikal mesti membaharui cukai jalan masing-masing. Siapa yang tidak memperbaharui cukai jalan tiadalah...(rebat)," katanya.

Ditanya langkah kerajaan seterusnya jika berlaku kenaikan harga minyak pada masa akan datang, beliau berkata kerajaan mungkin tidak akan melaksanakan sistem pembayaran rebat lagi kerana kaedah itu tidak popular di kalangan masyarakat negara ini.

"Nampaknya masyarakat Malaysia ini lebih suka harga di pam (harga pasaran minyak). Kalau hendak bagi subsidi...lebih baik bagi subsidi harga di pam mereka tidak suka cara rebat ini...mereka lebih suka harga minyak kekal RM1.80 (seliter)," katanya.

Semalam dilaporkan jumlah rebat tunai yang telah dibayar kepada pemilik kenderaan yang layak bagi tempoh 14 Jun 2008 sehingga 31 Jan tahun ini adalah sebanyak RM3.6 bilion manakala jumlah bayaran komisen kepada Pos Malaysia Bhd pula sebanyak RM22.8 juta.

Jun lepas Kerajaan mengumumkan akan membayar rebat yang akan diberi dalam bentuk kiriman wang itu menerusi pejabat pos seluruh negara.

Subsidi RM625 diberikan kepada pemilik kenderaan sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip sehingga 2,500cc; dan RM150 kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc yang memperbaharui cukai jalan dari 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009 ekoran pengumuman kenaikan harga bahan api itu.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini