Pages

Tuesday, February 24, 2009

Anggota Parlimen Ibaratkan Dewan Rakyat Pekan Koboi

KUALA LUMPUR, 24 Feb-- Seorang anggota Parlimen hari ini mengibaratkan Dewan Rakyat seperti sebuah pekan koboi apabila anggota Dewan sering berbalah dan melupakan tugas sebenar mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Datuk Halimah Sadique (BN-Tenggara) berkata wakil rakyat merupakan seorang pemimpin yang diperhatikan dan patut menjadi teladan kepada rakyat, bukannya bertelingkah antara satu sama lain.

"Kita lupa bahawa kita adalah pemimpin yang sedang diperhatikan, lebih banyak bertekak antara satu sama lain. Kita lupa bahawa rakyat letak kita sebagai anggota Parlimen untuk kepentingan mereka dan bukan kepentingan peribadi kita.

"Kita bukan hendak jadi pelakon koboi dengan adegan tembak-menembak. Dewan yang mulia ini sudah jadi macam pekan koboi, kita lupa tugas. Kita boleh dicontohi dan diteladani," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Halimah berkata seorang pemimpin khususnya pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa menjalankan tugas untuk rakyat dan merupakan kerajaan yang bertanggungjawab.

"BN buat kerja untuk rakyat dan bukan untuk intai kain orang. Umno dan BN merupakan kerajaan yang bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, perbahasan hari ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, kekecohan mahupun celahan ekoran teguran Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketika ramai wakil rakyat mencelah dan meminta penjelasan ketika Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) memperkatakan mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin, Pandikar Amin kemudian membuat peraturan dengan melarang sebarang celahan kerana ada yang menggunakan peluang itu untuk berbahas.

"Saya sering kali ingatkan apabila mencelah jangan gunakan helah untuk berbahas kerana apabila kami yang duduk di atas ini biarkan, maka masa tidak mengizinkan.

"Saya faham tugas ahli Yang Berhormat, jadi Yang Berhormat juga harus faham tugas saya. Ada dua hari saja lagi kita nak bahas dan ada 80 orang lagi nak cakap. Kalau nak mencelah juga, ikut Peraturan Mesyuarat...tetapi jika beri input itu berbahas namanya," katanya.

Pandikar Amin berkata beliau juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan kepada anggota Parlimen yang ingkar arahan beliau itu.

"Saya tidak akan benarkan lagi pencelahan di bawah Peraturan 37(2). Kalau ada lagi saya tidak akan teragak-agak untuk suruh keluar. Yang Berhormat bolehlah pergi minum teh tarik dua, tiga jam," katanya.

Persidangan Dewan disambung esok.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini