KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata ada kemungkinan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat (PR) di Perak akan menyertai Barisan Nasional.
"InsyaAllah betul kot" katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai khabar angin yang tersebar luas bahawa beberapa ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai Umno dan BN.
Terdahulu, Abdullah melancarkan sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan di Tasik Titiwangsa di sini.
Abdullah yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata mereka ingin menyertai Umno kerana yakin dengan perjuangan parti itu.
"(Mereka akan) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN... menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN)," kata Abdullah.
Bagaimanapun, Abdullah tidak menyebut jumlah wakil rakyat dari PR yang akan menyertai BN ketika ditanya mengenai perkara itu walaupun, pemberita berdasarkan sumber yang mereka tahu, menyebut beberapa angka.
Abdullah juga ditanya sama ada ADUN dari PR di Perak yang disebut-sebut akan menyertai BN sudah pasti untuk berbuat demikian ataupun telah menyertai BN.
"Bila semua dah jadi tentulah kita buat pengumuman (secara rasmi)," katanya.
Perdana Menteri juga diminta mengulas sama ada terdapat kemungkinan akan ada wakil rakyat PR dari negeri lain, selain Perak, yang akan menyertai Umno dan BN.
"Kemungkinan tetap ada di mana-mana pun. Bila kita nak meramaikan ahli Umno ia terbuka untuk sesiapa juga. Bukan kita kata orang ini jangan. Kita hendak kalau datang dari parti lain nak masuk Umno (kita terima)," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment