Pages

Sunday, February 1, 2009

Lapang Sasar Mantin Bernilai RM6.8 Juta Terabai?

SEREMBAN, 1 Feb-- Bukit Mantin kembali sepi. Tiada lagi bunyi ledakan memecah keheningan rimbanya setelah kompleks lapang sasar menembak bernilai RM6.8 juta yang dibina sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2004 terbiar lapuk tanpa penyenggaraan.

Tinjauan Bernama di kompleks itu, yang terletak di Kilometer 10 Jalan Seremban-Mantin, mendapati banyak kerosakan berlaku selepas tidak diselenggara untuk manfaat sukan menembak.

Biarpun kelihatan gah dari luar, keadaan di dalam kompleks antaranya lapang sasar bagi 25 dan 50 meter, lapang sasar elektronik, bilik rehat dan surau dipenuhi sampah sarap manakala beberapa dinding sasar pecah.

Hanya seorang pengawal keselamatan kelihatan mengawasi kompleks.

Selepas beberapa pertanyaan melalui telefon dengan beberapa pihak, difahamkan lapangan sasar tersebut sebelum ini sekadar digunakan sebagai venue latihan dan pertandingan menembak oleh Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rela.

Selepas berakhirnya Sukma, tanggungjawab untuk menyenggara kompleks itu terletak di bahu Majlis Perbandaran Nilai.

"Penyenggaraan hanya dilakukan jika terdapat tempahan. Kali terakhir kompleks ini digunakan ialah pada awal September lepas oleh peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Ulu Pari, Rembau," kata seorang pegawai majlis itu yang tidak mahu dikenali.

Menurutnya tiada atlet menembak menggunakan kemudahan itu sejak Sukma 2004.

Bagaimanapun, katanya, mulai Februari, tanggungjawab menyenggara lapang sasar itu diserahkan kepada Majlis Sukan Negeri Negeri Sembilan (MSNNS).

Bernama difahamkan, sesi latihan yang pernah diadakan oleh pasukan beruniform hanya melibatkan ruang terbuka kompleks tersebut dan bukan lapang sasar berdinding.

Ketika dihubungi, Pengarah MSNNS Foudzee Abdul Aziz berkata pihaknya akan segera menyenggara kompleks tersebut untuk kemajuan sukan menembak.

"Atas saranan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohd Hassan, MSNNS akan membangunkan Lapang Sasar Mantin sebagai pusat latihan bagi atlet menembak di negeri ini," katanya.

Foudzee berkata lapang sasar itu akan digunakan untuk pemilihan skuad menembak Negeri Sembilan yang dijangka memulakan latihan sebagai persiapan menghadapi Sukma Melaka tahun depan.

"MSNNS akan mengambil dua jurulatih tempatan yang berpengalaman bagi membimbing skuad penembak muda," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini