KEBANYAKAN pasaran saham di Asia, termasuk Timur Tengah, dan Eropah menjulang semalam selepas pemerintah Eropah bersetuju meminjamkan ratusan bilion dolar bagi menjamin pinjaman antara bank dan menyediakan dana untuk membeli saham-saham bank, demi menghuraikan krisis kewangan yang melanda ekonomi sejagat.
Indeks Straits Times (STI) di Singapura melompat 6.57 peratus di akhir dagangan semalam, kenaikan terbesar dalam tempoh sehari. STI menjunam 7.34 peratus Jumaat lalu. Pasaran saham Hongkong dan Thailand masing-masing menjulang 10.2 peratus dan 5.39 peratus semalam. Harga saham di Malaysia naik 1.8 peratus. Pasaran saham Jepun, yang terbesar di Asia, ditutup semalam kerana cuti umum, setelah menjunam 24 peratus minggu lalu.
Selepas 75 minit dagangan di Eropah bermula, harga saham di London meningkat 5.53 peratus, Frankfurt menjulang 6.24 peratus dan Paris naik 6.67 peratus. Di Timur Tengah, saham-saham meningkat semula selepas Amiriah Arab Bersatu (UAE) berkata ia akan menjamin deposit bank.
Indeks Pasaran Kewangan Dubai melompat 11 peratus, terbesar dalam sehari sejak Disember 2003, setelah merosot 19 peratus bulan ini. Pasaran saham Qatar naik 8.5 peratus dan Oman 5.2 peratus.
Jumaat lalu, indeks pasaran saham utama di dunia menjunam kerana keyakinan terhadap sistem kewangan sejagat kian pudar. Namun, langkah bank-bank Eropah bagi memulihkan pinjaman yang telah 'beku' dengan menyediakan dana kepada bank komersial telah mendorong pasaran saham.
Kerajaan Britain pula berkata ia akan melabur sehingga £pounds;37 bilion ($94 bilion) dalam bank Britain bermasalah, iaitu Royal Bank of Scotland, HBOS dan Lloyds TSB.
Di Amerika Syarikat, pelabur sedang menunggu untuk melihat adakah rancangan pemerintah membeli ekuiti dalam bank-bank bermasalah akan membantu menstabilkan ketidaktentuan Wall Street.
Seorang pedagang berkata kenaikan harga saham semalam satu pembetulan teknikal selepas ia menjunam dengan banyak Jumaat lalu. Walaupun pemerintah di dunia yang cuba menghurai masalah kredit telah membantu mendorong pemulihan harga saham, bank CIMB berkata kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi sejagat yang lebih perlahan akan kekal.
Malah dalam notanya, seorang pengamat kredit di BNP Paribas, Encik Brett Williams, berkata: 'Jika ada sentimen pasaran telah pulih semalam, ia harus diselit dengan amaran berhati-hati. Peranan pemerintah sejagat dalam memintas pasaran tunai dan kredit bank akan mempunyai kesan (terhadap pasaran).'
Di Singapura, 1.59 bilion saham bernilai $1.62 bilion bertukar tangan. Sebanyak 295 kaunter untung, 251 rugi dan 760 tidak berubah. Harga saham syarikat pemaju hartanah antara yang naik banyak, seperti CapitaLand, yang harganya meningkat 22 sen kepada $2.73, dan City Developments, yang naik 72 sen kepada $7.20.
Harga saham syarikat pembangun pelantar minyak, Sembcorp Industries, naik 25 sen kepada $2.70, manakala harga saham Neptune Orient Lines (NOL) meningkat 20 sen kepada $1.76.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment