Pages

Monday, February 13, 2012

Tenaga Nasional tidak beri perakuan pada alat jimat elektrik



PUTRAJAYA: Syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak pernah mengesahkan atau memberi perakuan kepada sebarang jenis alat penjimat tenaga elektrik (ESD) yang dijual secara berleluasa dalam pasaran di Malaysia sekarang.

Pengurus Besar (Jabatan Pemasaran dan Perkhidmatan Pelanggan) TNB, Encik Nirinder Singh Johl, berkata terpulang kepada pengguna menggunakan ESD.

Tetapi, katanya, alat itu perlu disahkan Suruhanjaya Tenaga atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

'Pengguna boleh menggunakan ESD ini tetapi mereka harus pastikan (ia) tidak menjejaskan atau mengganggu bacaan meter elektrik milik TNB atau mengubah bacaan sebenar penggunaan bekalan elektrik.
'Walaupun ada banyak alat seumpama ini di pasaran, saya tegaskan bahawa TNB tidak pernah memberi perakuan atau meluluskan sebarang jenis alat menjimatkan elektrik seperti yang dijual sekarang,' katanya.

Tambahnya, pengguna yang mahu menjimatkan elektrik dinasihatkan lebih berhemah apabila menggunakan peralatan elektrik dan melakukan penyenggaraan berkala terhadap perkakasan elektrik bagi memastikan kecekapan guna tenaga.Namun, TNB tidak ada masalah jika pengguna mahu menggunakan ESD atau peralatan elektrik canggih yang mendakwa dapat menjimatkan penggunaan bekalan elektrik.

Kelmarin, akhbar Berita Harian Malaysia, melaporkan kenyataan Suruhanjaya Tenaga bahawa ESD yang dijual secara berleluasa di pasaran serta Internet antara RM300 ($125) hingga RM1,000 seunit, mengikut kadar dan pola penggunaan di premis, sebenarnya tidak boleh menjimatkan bil elektrik.

Tinjauan rambang di Internet mendapati ada syarikat yang mengiklankan ESD itu, mendakwa mendapat pengiktirafan keselamatan Sirim, walaupun ia tidak benar. -- Berita Minggu Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

Nak jimat letrik macam mana, pantang jimat sikit, mulalah TNB tukar harga tarif letrik. Bongok punya TNB, elektrik di Malaysia dia yang monopoli, tapi rugi memanjang je.

Posting Terkini