Tuesday, October 14, 2008
TERKANDAS DI BAWAH JEJATAS
PEMANDU di Ekspreswe Tampines (TPE) mengalami kesesakan lalu lintas luar biasa apabila sebuah treler yang sedang memunggah rangka sebuah pesawat terkandas di bawah sebuah jejatas dinihari semalam.
Treler itu tidak dapat melepasi jejatas tersebut disebabkan saiz rangka pesawat jenis Boeing 737-300 itu melebihi paras maksimum jejatas itu, iaitu 4.5 meter,
Kejadian itu berlaku sekitar 1.30 pagi berhampiran Blok 695E, Tampines Avenue 9, semasa rangka pesawat itu diangkut dari Lapangan Terbang Seletar ke tapak latihan perkhidmatan kecemasaan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) di Upper Changi Road.
Rangka pesawat itu milik CAAS.
Selama sekitar 90 minit, lalu lintas di bahagian TPE yang terjejas menghala ke Lapangan Terbang Changi tidak bergerak.
Seorang jurucakap CAAS yang dihubungi semalam berkata, rangka pesawat itu telah diberi kepada CAAS bagi tujuan latihan menyelamat dan melawan kebakaran.
'Untuk memastikan rangka pesawat itu dan treler yang memunggahnya dapat melepasi jejatas itu, tayar treler itu dikempiskan,' kata jurucakap tersebut.
Proses 'membebaskan' treler itu mengambil masa kurang sejam dan berakhir sekitar 3 pagi, katanya.
Menurutnya, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan ke atas jejatas, treler mahupun rangka pesawat tersebut.
Ketika dihubungi semalam, seorang jurucakap Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengesahkan bahawa jejatas itu tidak mengalami sebarang kerosakan.
Menurut beliau lagi, pihaknya sedang menjalankan siasatan tentang punca sebenar kejadian itu agar kejadian sedemikian tidak berulang.
Berita Harian difahamkan bahawa ini bukan kali pertama rangka pesawat diangkut menggunakan laluan TPE.
Namun difahamkan insiden tersebut merupakan yang pertama kali melibatkan rangka pesawat.
Sebelum ini, beberapa kejadian serupa melibatkan kren dan kenderaan berat lain pernah dilaporkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment