KUALA LUMPUR, 21 Okt-- Malaysia membelanjakan lebih RM200 juta untuk memasang, mengekalkan dan menaiktaraf pelbagai bantuan pelayaran di Selat Melaka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Selasa.
Beliau berkata bagi sebuah negara yang kecil dengan sumber yang terhad, ia merupakan jumlah yang banyak.
"Tetapi inilah harga yang kita yang sanggup bayar bagi memastikan dan meningkatkan keselamatan pelayaran di Selat Melaka," katanya ketika menyampaikan ucaptama sewaktu pelancaran Pusat Untuk Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia di sini.
Najib berkata berikutan kesan kewangan jangka panjang, kemampuan Malaysia terhadap tujuan itu ada hadnya.
"Dalam konteks ini, saya percaya, kunci untuk mewujudkan keadaan keselamatan yang menyeluruh di Selat Melaka adalah kerjasama," katanya.
Sejak beberapa tahun lepas, Najib berkata terdapat perkembangan yang penting dan belum pernah berlaku dijalankan bagi menggalakkan kerjasama antara negara-negara pesisir dan pengguna selat itu.
Pihak-pihak berkenaan berjaya dalam menggerakkan usaha daripada kerjasama yang sangat minimum kepada pembentukan Mekanisme Kerjasama yang melihatkan proses dialog, dana yang dikhaskan untuk mengekalkan bantuan pelayaran di selat itu dan enam projek bertujuan meningkatkan keselamatan pelayaran, katanya.
Dalam hal ini, Najib berkara Organisasi Maritim Antarabangsa memainkan peranan penting dalam memudahkan kerjasama yang sangat diperlukan, sehingga menghasilkan beberapa sistem seperti Skim Pemisahan Trafik yang diletakkan bagi memantau selat itu.
"Dengan adanya sistem-sistem ini, Selat Melaka dilengkapi sepenuhnya dengan teknologi maklumat terkini bagi pelayaran selamat selain ketepatan pelayaran dan tindak balas kecemasan," katanya.
Najib berkata Mekanisme Kerjasama itu melengkapkan kerjasama yang sedia terjalin antara Malaysia, Indonesia dan Singapura menerusi dua inisiatif utama iaitu Rondaan Selat Melaka dan program pengawasan dari udara "Eye-in-the-Sky", selain perkongsian maklumat risikan yang penting.
Thailand baru-baru ini membayangkan kesediaan mereka untuk turut sama dalam semua insiatif tersebut.
Usaha-usaha ini telah menyumbang kepada peningkatan tahap keyakinan kuasa-kuasa maritim dari segi kemampuan negara-negara pesisir, katanya.
Najib berkata statistik daripada laporan Biro Maritim Antarabangsa menunjukkan penurunan ketara dalam insiden-insiden berkaitan keselamatan, daripada yang tertinggi dengan 75 kes pada 2000 kepada hanya empat pada 2007.
"Dan buat pertama kali pada 2008, tiada ada satu pun kes yang dilaporkan," katanya, sambil menambah terdapat program mengenai bina upaya ekonomi di selat itu bagi komuniti tepi pantai di bawah program pembangunan keselamatan komprhensif.
Najib berkata walaupun ada perkembangan positif dan peningkatan dalam keselamatan pelayaran serta perlindungan alam sekitar marin, Malaysia percaya ada had bagi trafik maritim di selat itu yang semakin bertambah, memungkinkan bukan hanya risiko tetapi juga berbahaya dan merugikan.
"Dengan kata lain, keupayaan selat itu untuk menerima bilangan kapal yang semakin bertambah adalah terbatas," katanya.
Beliau berkata bilangan kapal di selat itu meningkat hampir 40 peratus daripada 43,965 pada 1999 kepada 70,718 pada 2007 dan dijangka menjelang 2015, jumlah akan meningkat kepada 120,000.
"Kemungkinan yang memeritkan, bagi negara-negara pesisir dan pengguna di selat itu dari segi keselamatan pelayaran," katanya. Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia percaya bahawa kapasiti muatan kapal di Selat Melaka perlu ditentukan bersama dan tidak terlebih muatan.
Beliau berkata adalah penting untuk dinyatakan bahawa laut yang meliputi selat itu bukanlah perairan antarabangsa, jadi kuasa perundangan maritim Malaysia di kawasan itu adalah dilaksanakan menerusi perjanjian sempadan dan undang-undang nasional.
"Oleh itu adalah penting untuk saya ulangi bahawa Malaysia menganggap kedaulatannya di selat itu tidak boleh dipertikaikan dan ini termasuk hak untuk melaksanakan kedaulatan sepenuhnya dan eksklusif terhadap perairan kami," katanya.
Najib berkata Malaysia juga mempunyai Pentas Benua dan Zon Ekonomi Eksklusif di selat itu, dan mempunyai semua hak termasuk menyediakan konvensyen termasuk hak kedaulatan meneroka, menggunakan, memulihara dan menguruskan sumber di dalamnya.
"Oleh itu, kedudukan Malaysia terhadap apa-apa penglibatan luar atau campur tangan dalam keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di selat itu adalah jelas, iaitu kami tidak akan membiarkan tindakan seperti itu," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment