PULAU PINANG, 21 Sept-- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu konsep meritokrasi politik diamalkan untuk memilih pemimpin berkebolehan dan menolak mereka yang mengamalkan politik wang pada pemilihan parti itu Mac ini.
Beliau berkata hanya pemimpin tulen akan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menggerakkan agenda parti khususnya menghadapi musuh UMNO dan bukannya 'bersembunyi' di belakang ahli.
"Kita mesti wujudkan dalam politik negara kita sistem meritokrasi. Kita tidak boleh memilih pemimpin itu kerana kita kenal dia dan dia ada wang, tetapi kita kena pilih berdasarkan kebolehan, kredibiliti dan pengalamannya," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk 'Politik Melayu-Islam: Kemelut dan Penyelesaian' anjuran Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) dan Yayasan Nurul Yaqeen di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Selasa.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata perkara itu penting memandangkan Umno sebagai sebuah parti politik juga sudah menolak amalan politik wang.
"Ini perkara yang serius dan harus ditangani sebaik mungkin. Parti telah lama menolak amalan ini dan orang ramai tentunya juga tidak boleh menerima amalan ini," katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan penularan gejala ini pada persidangan perwakilan bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara.
"Komitmen yang tinggi amat diperlukan dari semua pihak termasuk pemimpin yang bertanding dan para perwakilan yang mencalonkan seseorang.
"Jika amalan ini tidak dibendung saya risau ia boleh menjejaskan imej UMNO sebagai parti politik terbesar di Malaysia.
Ia juga boleh memusnahkan parti UMNO," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas pencalonan yang diperolehnya ketika ini sebagai calon Timbalan Presiden UMNO.
Katanya, sokongan yang diberikan di peringkat akar umbi akan dijadikan satu semangat untuknya berbakti dan menghambakan diri untuk UMNO.
"Saya harap mereka di peringkat akar umbi akan terus menyokong saya, dan sokongan ini diharapkan berterusan sampai bila-bila," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment