KOTA KINABALU, 21 Okt -- Penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan dan iklan mendapat sokongan menggalakkan di kebanyakan daerah di Sabah, kata Pengarah Dewan dan Bahasa (DBP) Sabah Zubaidi Abas.
"Pihak DBP mendapat kerjasama yang sangat baik daripada majlis daerah berkenaan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda. Mereka juga sentiasa berhubung dengan kami mengenai penggunaan bahasa dan ejaan yang betul.
"Kami amat mengalu-alukan dan memuji usaha daerah seperti Lahad Datu, Sipitang, Kinabatangan dan Beaufort dalam memartabatkan bahasa kebangsaan kita melalui penulisan jawi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2008 di sini, Selasa.
Katanya usaha menggunakan tulisan jawi juga akan diperluaskan ke daerah lain.
Dalam perkembangan lain, Zubaidi berkata DBP Negeri akan meminta syarikat pengiklanan di negeri itu untuk merujuk kepada DBP dalam penggunaan bahasa kebangsaan pada iklan.
Katanya setiap permohonan untuk membuat iklan pada papan iklan menggunakan bahasa kebangsaan perlu mendapat kelulusan daripada DBP sebelum mengiklan.
Mengenai BBSN 2008, Pengarah DBP Malaysia Izzah Abd Aziz yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata pelancaran BBSN akan diadakan di Padang Merdeka pada 24 Okt ini.
Katanya majlis pelancaran itu dijangka disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, selaku pengerusi jawatankuasa induk BBSN, juga dijangka hadir.
Antara artis yang diundang pada majlis pelancaran itu ialah Ramli Sarip, Abu Bakar Ellah dan bintang Akademi Fantasia Felix Agus.
Izzah berkata pelbagai aktiviti diadakan sempena BBSN itu dari 18 Okt hingga 9 Nov ini, antaranya Ekspo BBSN pada 24-26 Okt, Sayembara Lagu Puisi pada 26 Okt, Larian BBSN pada 27 Okt dan Khemah Bahasa Pelbagai Kaum pada 28-30 Okt bagi peringkat negeri Sabah dan pada 7-9 Nov bagi peringkat Labuan, katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment