KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan usaha pemulihan parti ekoran prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya umum Mac lalu.
Pertemuan itu dipengerusikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mesyuarat tiga jam itu bermula pukul 8.40 malam, memfokus hasil retreat yang diadakan di Shah Alam, Jun lalu.
Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak; kedua-dua Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tiada sidang media diadakan selepas pertemuan itu tetapi beberapa pemimpin yang ditemui mengesahkan mereka telah membincangkan strategi pemulihan parti selepas 10 bulan pilihan raya umum diadakan.
Menurut Muhyiddin, pertemuan kali ini telah menyentuh secara mendalam soal pemulihan parti.
"Perbincangan membabitkan apakah inisiatif yang hendak dibuat oleh Umno untuk memulihkan imej.
"Kita juga membincangkan beberapa cadangan yang telah dibentangkan oleh sekretariat khas yang telah dibentuk oleh anggota MT baru-baru ini," katanya.
Seorang anggota MT, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, "mesyuarat ini adalah perbincangan berterusan hasil retreat Umno yang lalu."
"Ia membincangkan usaha-usaha menyiapkan pemulihan Umno, antara lain pertemuan dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dari segi agama dan kesatuan sekerja," kata beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi.
Terdahulu di Parlimen petang tadi Abdullah, mengesahkan mengenai mesyuarat tersebut namun beliau enggan mengulas lanjut tentang agenda mesyuarat.
"Tunggu lepas nilah. Kita jumpa media malam ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Aeroangkasa Negara di bangunan Parlimen.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, mesyuarat khas itu akan membincangkan tentang hal ehwal parti.
"Ini bukan mesyuarat biasa. Ini adalah mesyuarat khas untuk MT berbincang mengenai parti...retreat.
"Tapi tak bolehlah saya nak beritahu apa agendanya," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Ketika ditanya sama ada mesyuarat malam ini akan memutuskan perkara-perkara penting tentang Umno, Muhammad berkata, semua hasil retreat sebelum ini adalah penting dan MT ingin membincangkan hal itu dengan lebih lanjut lagi.
MT Umno telah mengadakan retreat di Shah Alam pada 5 dan 6 Jun lalu.
Mstar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment