Warta Kerajaan Rakyat - KUALA LUMPUR: Secara berseloroh, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menyarankan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur yang menggelar dirinya Wanita Pertama, supaya menyertai ‘Kelab Isteri Taat’.
“Saya sarankan Rosmah untuk sertai kelab tersebut yang menganjurkan isteri supaya taat kepada suami,” kata beliau ketika ditanya mengenai penubuhan kelab berkenaan, yang dianjur bekas ahli pertubuhan Al Alqam, Global Ikhwan.
Zuraida bagaimana pun tidak bersetuju dengan idea kelab tersebut, yang disifatkan meletakkan beban dan tanggungjawab rumah tangga kepada isteri semata-mata.
“Pelaksanaan itu salah kerana dalam perkahwinan perjanjian kepada dua pihak bukan dibahu isteri sahaja,” kata Zuraida ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Namun, secara sinis kata Zuraida, kelab tersebut kemungkinan sesuai untuk disertai Rosmah yang dilihat terlalu ‘mengawal’ suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rosmah, yang turut mempunyai pejabat dan divisyen ‘First Lady Of Malaysia’ di Putrajaya sebelum ini ghairah mempromosi dirinya sebagai isteri perdana menteri.
Malah, gelaran sebagai ‘Wanita pertama Malaysia’ mengundang kecaman banyak pihak kerana dianggap merampas gelaran sepatutnya digunakan Permaisuri Agung.
Di saat rakyat menanggung beban ekonomi, Najib pula memperuntukkan RM111 juta dan RM100 juta bagi tahun 2010 dan 2011 untuk program Permata yang dinaungi Rosmah.
Dalam masa yang sama pula, kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen awal Mei lalu atas alasan menjimatkan RM116 juta subsidi yang diberikan kepada rakyat.
Rosmah sebelum ini juga dikritik hebat kerana boros membelanjakan wang negara dan mencampuri urusan kerajaan dengan mengambil alih tugas menteri, terutama dalam hubungan diplomatik.
Sebelum ini, Rosmah membelanjakan sebanyak RM4,498,0949.99 untuk mengadakan Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Ibu negara Oktober tahun lalu, selain Najib sendiri membelanjakan RM8.7 juta untuk mengadakan lawatan ke 42 negera seluruh dunia.
Dalam rangka lawatan ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh, Rosmah dicatat membelanjakan sebanyak RM134,317.76.
Malah, Rosmah turut berbelanja mewah dengan menghabiskan hampir RM140,000 bagi penginapan hotel mewah, Atlantis di Dubai hanya untuk semalaman.
Meskipun Rosmah pernah menepis dakwaan itu ketika berkempen dalam pilihan raya kecil di Kerdau tidak lama dahulu, namun ramai meraguinya.
“Bila masa saya cakap (pada Najib) buat macam itu, buat macam ini. Mahu Datuk Najib nak ikut cakap saya. Saya ini, (contohnya) kalau dia kata duduk, saya duduklah,” katanya kepada wartawan.
No comments:
Post a Comment