Singapura - SEORANG daripada empat individu dalam skim pelaburan firma pemasaran berbilang tingkat Sunshine Empire dikenakan ikat jamin lebih tinggi semalam.
Ikat jamin Yong Wai Hong, 27 tahun, pengarah Empire Communications Technology dan beberapa syarikat lain, dinaikkan daripada $600,000 kepada $800,000.
Ia dinaikkan setelah Mahkamah Rendah meluluskan permohonan Yong untuk ke luar negara bagi urusan perniagaan.
Yong, yang juga pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Emcom International berpangkalan di Hongkong, dibenarkan ke China dan Hongkong antara esok hingga penghujung bulan depan.
Dia menghadapi enam tuduhan membuat pengakuan palsu berhubung perkongsian modal dalam pelbagai syarikat pada 2007.
Dia dihadapkan ke mahkamah dengan tiga lagi tertuduh awal bulan ini. Dua daripada mereka, Phang Wah, 49 tahun, dan Jackie Hoo Choon Cheat, 29 tahun, menghadapi tduhuan di bawah Akta Syarikat dan Kanun Keseksaan.
Phang, yang bertindak sebagai pengurus, dan Hoo dituduh menjalankan pernigaan skim pengedaran wang melibatkan jutaan dolar yang diperolehi daripada orang awam.
Tertuduh keempat, isteri Phang, Neo Kuon Huay, 46 tahun, menghadapi enam tuduhan memalsukan akaun dan membuat pengakuan palsu.
Mahkamah menetapkan sidang sebelum perbicaraan pada 5 Mac depan bagi semua tertuduh.
No comments:
Post a Comment