PETALING JAYA: Elizabeth Wong, yang memutuskan hasrat untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel, telah dinasihatkan agar bercuti buat sementara waktu.
Menteri Besar Selangor berkata, beliau telah menasihatkan Wong agar bercuti dan mengambil rehat yang sewajarnya.
Semalam Wong berkata beliau telah menjadi "mangsa kejadian" penyebaran foto atau video separuh bogelnya, yang dipercayai disebarkan oleh bekas kekasihnya.
Media melaporkan bahawa bekas kekasihnya kini berada di luar negara.
Malah, Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor untuk memperjelaskan isu ini dan mendapatkan pandangan baginda.
"Saya telah menerima surat daripada YB Elizabeth Wong yang mengatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor dan ADUN Bukti Lanjan.
"Perkembangan ini adalah sesuatu yang malang memandangkan YB Elizabeth Wong merupakan anggota Exco contoh," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan sejam yang lalu.
Bagaimanapun Khalid tidak menyatakan tarikh beliau akan menghadap Sultan Selangor.
Pada sidang media pagi tadi, Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet.
Dengan nada sebak dan ada ketikanya menitiskan air mata, Wong menegaskan, beliau akan membincangkan soal penyerahan tugasnya itu dengan Menteri Besar.
Wong, 37, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor berkata, terdapat pihak tertentu yang mahu mencemarkan nama baiknya.
Beliau yang datang ke sidang media dengan kelihatan "ceria" menitiskan air mata ketika membacakan kenyataan satu halaman.
Ketua Penerangan Wanita PKR itu berkata, beliau tidak melanggar sebarang undang-undang.
"Saya tak merasa malu hanya kerana saya tidak berkahwin," kata beliau yang akan kekal sebagai ahli PKR.
Wong berkata, tawarannya untuk meletak jawatan adalah untuk kebaikan parti.
"Walaupun kempen memburukkan nama saya ini ditujukan kepada saya, tapi saya sedar matlamatnya adalah untuk memburukkan Parti Keadilan Rakyat," katanya.
Wong telah membuat laporan di balai polis Damansara pada Ahad lepas.
Turut hadir pada sidang media pagi tadi ialah Naib Presiden PKR, R. Sivarasa; Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin.
Kesemua mereka yang turut memberikan pandangan mengutuk penyebaran foto dan video sedemikian.
Malah mereka menyalahkan musuh politik khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai belakang dalam usaha kotor sedemikian.
No comments:
Post a Comment