Pages

Tuesday, August 18, 2009

Ahli Politik Menjadi Pelakon

Khairy Jamaluddin berlakon sebagai pemandu teksi sementara Baki Zainal sebagai penumpangnya dalam filem 'Taxi Driver' arahan Benji Lim & Bahir Yeusuff.

Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertukar profesion sebagai pemandu teksi? Mungkin kedengaran agak mustahil, namun gelagat Khairy sebagai pemandu teksi ini boleh disaksikan menerusi filem pendek berjudul Taxi Driver arahan Benji Lim dan Bahir Yeusuff.

Bukan saja Khairy, beberapa ahli politik lain seperti Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua juga turut membintangi filem-filem pendek di bawah projek 15Malaysia, yang mendukung semangat konsep 1MALAYSIA.

15MALAYSIA merupakan 15 filem pendek yang diarahkan oleh 15 pembikin filem di negara ini. Filem-filem pendek tersebut menggarap semangat 1Malaysia yang menyentuh tentang perpaduan dan diversiti masyarakat negara ini.

Setiap filem cuma memakan masa antara tiga hingga enam minit. Ia menggunakan pelbagai bahasa yang selalu digunakan di negara ini.

Setiap filem akan dikeluarkan dalam empat versi iaitu Bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

15MALAYSIA diilhamkan oleh penyanyi dan penulis lagu, Pete Teo. Menurut beliau, idea melahirkan 15MALAYSIA timbul pada enam bulan lalu dan tempoh pembikinannya memakan masa tiga bulan.

Kebanyakan pembikin filem yang terpilih dalam 15MALAYSIA itu pernah memenangi anugerah filem di peringkat antarabangsa.

"Filem-filem tersebut bukan sahaja menghiburkan, bahkan ia mengajak para penonton berfikir mengenai mesej tersirat di sebaliknya.

"15MALAYSIA merupakan platform kepada pembikin filem kreatif tanahair untuk mengetengahkan isu-isu tertentu dari perspektif mata dan hati nurani masing-masing. Mereka membikin filem tersebut dengan semangat 1MALAYSIA," kata Pete Teo semasa sesi pelancaran P1 Malaysian Filmmaker Showcase Presenting 15MALAYSIA ("15MALAYSIA") di IMAX theatre, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam.

Antara pengarah atau pembikin filem 15MALAYSIA ialah Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Ho Yu Hang, Khairil Bahar dan Tan Chui Mui.

Barisan pelakonnya terdiri daripada beberapa selebriti, pelakon, pemuzik dan ahli politik. Menariknya, ahli-ahli politik tersebut datang daripada parti berbeza, baik dari kerajaan mahupun pembangkang.

Semua filem tersebut boleh ditonton melalui Youtube serta boleh dimuat turun di laman www.15malaysia.com. Filem-filem dalam 15MALAYSIA menyentuh bukan sahaja hubungan antara kaum malah pelbagai isu sosial dan politik yang dihadapi rakyat negara ini.

Tema 15 cerita pendek tersebut berkisar kepada perkara-perkara berkaitan rakyat negara ini - sesetengahnya lucu, serius, menguji minda selain futuristik. Bukan semua filem adalah komedi.

15 filem pendek yang diinspirasikan oleh kehidupan Malaysia: Chocolate (oleh Yasmin Ahmad), Potong Saga (Ho Yuhang), Gerhana (James Lee), One Future (Tan Chui Mui), The Tree (Amir Mohammad), Halal (Liew Seng Tat), Lollipop (Nam Ron), Taxi Driver (Benji Lim & Bahir Yeusuff), Healthy Paranoia (Khairil Bahar), Duit Kecil (Johan John), Slovak Sling (Wong Ming Jin), Rojak (Suleiman Brothers), House (Linus Chung), Lumpur (Kamal Sabran) dan The Son (Desmond Ng).

Penyertaan personaliti popular termasuk Harith Iskandar, Sharifah Amani, Daphne Iking, Amber Chia, Adibah Noor, Namewee, Atilia, Jay Menon, Baki Zainal dan Bront Palarae.

Lain-lain pelakon ialah Serena Choong, Hon Kahoe, Jason Lo, Patrick Teo, Sarah Lian, Nam Ron, Ciplak, Azmyl Yunor, Ida Nerina, Lorna Hoong, Baki Zainal dan Nick Dorian.

No comments:

Posting Terkini