Pages

Monday, October 13, 2008

Mahkamah Benar Raja Petra Dirawat Pakar Ikut Prosedur ISA

PETALING JAYA, 13 Okt-- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan peguam yang mewakili pengendali dan penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin untuk menghantar anak guamnya ke Hospital Pakar Cheras bagi rawatan lanjut sakit tulang belakang, Khamis ini.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Balqis Aini Mohd Ali bagi pihak Hakim Rozina Ayob yang bercuti sakit hari ini.

Rozina dalam keputusannya berkata segala bentuk rawatan tersebut hendaklah mengikut prosedur Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), serta mengarahkan pihak pendakwaan mengambil tindakan sewajarnya

Peguam J.Chandra memberitahu mahkamah bahawa pada minggu lepas pihak pendakwaan telah bersetuju untuk menghantar Raja Petra ke pusat perubatan pakar tersebut dan telah diperiksa dan dirawat pada Jumaat lepas.

Katanya doktor yang merawat Raja Petra sebelum ini mengusulkan cadangan supaya penulis blog itu dirawat menggunakan bentuk rawatan lain iaitu Magnetic Resonance Imaging (MRI) Scanner bagi memberi rawatan yang lebih sempurna untuk penyakit tulang belakangnya.

Raja Petra, 58, menghadapi tuduhan menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Artikel tersebut bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan disambung pada 10 Nov dengan pihak pendakwaan akan mengemukakan sekurang-kurangnya lagi 10 saksi.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini