Pages

Monday, October 13, 2008

Lokasi Projek Ternakan Babi Belum Muktamad

SHAH ALAM, 13 Okt -- Kerajaan Selangor akan meneruskan projek ternakan babi berintegasi tinggi yang dijangka dimulakan hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakob Sapari berkata bagaimanapun lokasi muktamad projek berkenaan masih dalam kajian.

Beliau berkata lokasi projek itu yang pada awalnya dicadangkan di Kampung Tumbuk Sepang dekat sini akan dikaji semula kesesuaiannya setelah mendapat bantahan ramai.

"Di Selangor kita ada banyak kawasan cuma kena kaji kesesuaiannya. Kalau ada protes daripada penduduk nak kena pertimbangkan (lokasi lain) pula dan kemudian kena tengok kesesuaian tempat yang lain. Kita serah kepada jawatankuasa teknikal untuk kaji balik kesesuaian lokasi itu.

"Kita kaji semua kerana banyak lagi perkara (belum diselesaikan) dan soal penternak pun tak selesai lagi. Kita harap seluruh kajian akan selesai selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum bantahan daripada Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia (PPPIM) Datuk Zulkifli Mohamad berhubung usaha membangunkan ladang ternakan babi itu, di pejabatnya di sini, Isnin.

Memorandum yang serupa pernah dikemukakan oleh PPPIM kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada awal Ogos lepas.

Beberapa bulan lepas, kerajaan Selangor telah meluluskan pelaksanakan projek penternakan babi berintegrasi itu yang bernilai RM100 juta.

Yaakob berkata kerajaan negeri berharap untuk memulakan projek ternakan babi itu dalam masa terdekat berikutan masalah pencemaran yang semakin serius dan pada masa sama akan mempastikan keputusan itu mengimbangi kehendak penduduk setempat.

Sementara itu, Zulkifli berkata memorandum yang diserahkan itu bertujuan memberi cadangan kepada kerajaan Selangor untuk memindahkan projek ternakan babi itu ke kawasan lain seperti di Pulau Ketam.

"Kami tidak membantah konsep yang ingin diperkenalkan cuma membantah lokasi ladang ternakan itu kerana ia terletak berdekatan dengan kawasan perumahan dan kita juga tidak mahu penyakit JE atau Virus Nipah yang berlaku di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan dulu berlaku lagi," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini