Pages

Monday, October 13, 2008

Spekulasi Mengenai Harga Minyak Mentah Akan Berkurangan Dengan Kelembapan Kewangan

KUALA LUMPUR, 13 Okt-- Spekulasi urus niaga terhadap minyak mentah dijangka berkurangan ekoran kesukaran mendapatkan dana dari institusi kewangan ekoran kemelut kewangan, kata pengarah urusan Malaysia Airlines Datuk Seri Idris Jala hari ini.

Idris Jala, yang menjangkakan harga minyak mentah akan berada antara AS$80 dan AS$120 setong dalam tempoh 12 bulan ini berkata demikian pada Forum Routes 2008 dalam sesi "Living with High Oil Prices".

Beliau berkata lindung nilai yang berlaku sejak 13 bulan lepas adalah melangkaui harga realistik minyak mentah yang mana pada hakikatnya, tiada berlakunya kekurangan dalam minyak dan gas.

"Apabila dikatakan tiadanya inventori berlebihan, ini memberikan banyak peluang kepada para spekulator masuk bersandarkan alasan "kebimbangan geopolitik". Banyak kebimbangan geopolitik telah memusnahkan bekalan di Nigeria dan Iran, kata Idris Jala.

"Mungkin terdapatnya kekurangan, jadi, mereka kata eloklah kita melindung nilai bagi melindungi diri sendiri," katanya.

Idris Jala berkata yang urus niaga hadapan untuk minyak mentah pada masa ini paling banyak diniagakan.

"Adanya ruang untuk berurus niaga tetapi apabila ia tergelincir dari permintaan dan penawaran, itulah masalahnya," kata beliau.

Beliau berkata yang jika minyak mentah berlegar pada AS$100 setong, ia masih menguasai kira-kira 50 peratus daripada kos syarikat penerbangan.

"Itu melibatkan wang yang banyak. Oleh itu, kita mesti memerangi kos itu," kata beliau sambil menambah yang terdapatnya kekurangan disiplin dalam syarikat penerbangan untuk menguruskan kos dengan cekap.

Idris Jala berkata syarikat penerbangan perlu mengurangkan semua kos lain dan menyalurkan sebahagiannya dalam usaha mencatatkan keuntungan dan pulangan yang diterima dari sudut pandangan pemegang saham.

"Kita mesti benarkan lebih banyak pengukuhan untuk dapatkan pulangan yang lebih baik," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini