KUALA LUMPUR: Semua kes yang dibangkitkan Suruhanjaya Diraja berkaitan klip video yang mengandungi perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim sudah selesai disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdullah, berkata kertas siasatan kes yang mempunyai kaitan langsung dengan peguam Datuk VK Lingam, terutama berkaitan hubungan dan kegiatannya dengan pihak tertentu itu sudah lengkap.
'Kertas siasatan sudah diserahkan ke Bahagian Pendakwaan BPR untuk kajian lanjut.
'Semua keterangan saksi dan pihak yang berkaitan serta dokumen untuk menyokong kes berkenaan juga sudah lengkap,' katanya.
Laporan Suruhanjaya Diraja itu, yang diumumkan sebelum ini, antara lain mencadangkan supaya BPR menyiasat khususnya mengenai percutian antara bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin, dan Datuk Lingam bersama keluarga masing-masing ke New Zealand pada 1994.
Suruhanjaya itu turut mencadangkan agar BPR menyiasat beberapa hakim yang dikatakan pernah menerima hadiah daripada Datuk Lingam serta hubungan baiknya dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah.
Berikutan itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mengarahkan BPR agar memulakan siasatan terhadap beberapa individu seperti yang dicadangkan Suruhanjaya Diraja.
Sebelum itu, Kabinet mengarahkan siasatan serta-merta dibuat berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja itu.
Mereka ialah Datuk Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; dan Tun Mohd Eusoff; serta mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Datuk Shukri berkata, walaupun tugas pihaknya sudah selesai setakat ini, siasatan lanjut akan dibuat jika bahagian pendakwaan mendapati masih perlu beberapa maklumat tambahan bagi menghasilkan kertas siasatan lebih kukuh. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment