Pages

Sunday, June 12, 2011

Ribuan penduduk Syria larikan diri ke Turkey


AMMAN: Tentera Syria terus menuju ke sebuah bandar sempadan semalam bagi menyerang musuh-musuhnya yang 'bersenjata', kata satu laporan sebuah stesen televisyen.

Ini selepas sekitar 2,800 penduduk bergegas melarikan diri ke Turkey kerana bimbangkan serangan tentera ke atas protes-protes yang menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Sedang Syria menghadapi satu lagi pusingan demonstrasi prodemokrasi selepas solat Jumaat semalam, sebuah akhbar Turkey berkata Ankara sedang mencari jalan mewujudkan satu zon penimbal di sepanjang sempadan jika ratusan ribu rakyat Syria cuba melarikan diri.


Pihak berkuasa Syria awal minggu ini berkata 'geng-geng bersenjata' telah membunuh lebih 120 kakitangan pasukan keselamatan di Jisr al-Shughour, sebuah bandar 50,000 penduduk di kawasan sempadan barat laut Syria.

Namun, para aktivis hak asasi berkata sejumlah orang awam terbunuh selepas pasukan keselamatan enggan menembak ke arah pemberontak dan pertempuran tercetus antara askar-askar yang taat dengan mereka yang memberontak.




Kumpulan-kumpulan hak asasi berkata lebih 1,100 orang awam yang terbunuh sejak Mac lalu dalam protes-protes terhadap pemerintahan keluarga Encik Assad selama 41 tahun.

'Wartawan kanan kami di Jisr al-Shughour memberitahu bahawa sebagai gerak balas terhadap gesaan orang ramai, unit-unit Tentera Arab Syria memulakan tugasnya di Jisr al-Shughour... untuk menangkap para anggota kumpulan bersenjata,' kata stesen televisyen milik pemerintah itu.

Para penduduk berkata askar dan kereta-kereta kebal bergerak masuk ke kampung Sarmaniya, kira-kira 10 kilometer ke selatan Jisr al-Shughour, dan memotong semua wadah perhubungan di kawasan itu.

'Mereka memulakannya seperti biasa dengan menggunakan mesingan menembak ke arah kampung itu. Tetapi para penduduk Sarmaniya kebanyakannya sudah meninggalkan tempat itu.

'Ratusan askar dan anggota pasukan keselamatan telah belot sejak beberapa hari lalu. Mereka (pasukan pro-Assad) mungkin berfikir bahawa mereka akan dapat mencari beberapa orang daripada mereka di Sarmaniya,' kata seorang saksi, yang bercakap menerusi telefon dari kawasan pinggiran Jisr al-Shughour.

Para aktivis hak asasi menyiarkan satu video yang didakwa daripada Leftenan Kolonel Husseon Armoush di laman YouTube, sambil berkata bahawa beliau telah belot dengan beberapa askar lain untuk 'menyertai barisan orang ramai yang meminta pembebasan dan demokrasi'. -- Reuters

No comments:

Posting Terkini