Pages

Sunday, June 12, 2011

Jeneral sedia sertai kerajaan jika adik Thaksin menang


BANGKOK: Jeneral yang mengetuai satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah hingga membawa kepada penggulingan kerajaan mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, kini bersedia menyertai adik perempuan mantan pemimpin itu jika partinya berjaya membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya umum 3 Julai ini.

Jeneral Sonthi Boonyaratglin, kini pemimpin Parti Matubhum, berkata partinya sedia menyertai sama ada kerajaan pimpinan Parti Demokrat atau yang dipimpin oleh Parti Pheu Thai selepas pilihan raya umum itu.

'Kami ingin menyertai kerajaan baru sungguhpun jika dipimpin oleh Pheu Thai selepas pilihan raya 3 Julai ini,' katanya kepada agensi berita Bernama, di sini, semalam.


Encik Thaksin adalah ketua umum Pheu Thai.

Parti Matubhum adalah sebuah daripada tujuh rakan gabungan dalam kerajaan pimpinan Demokrat, sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Mei lalu.

Dalam pilihan raya kali ini, kesemua tujuh rakan gabungan parti Demokrat akan bertanding atas tiket parti masing-masing dan bukannya atas tiket gabungan.




Bagaimanapun, Jeneral Sonthi menggariskan tiga syarat untuk menyertai kerajaan pimpinan Pheu Thai - bahawa Matubhum harus dipelawa menyertai gabungan itu, berkongsi dasar yang sama dan jawatankuasa Matubhum harus membuat keputusan mengenai perkara itu.

Beliau berkata Matubhum boleh menerima Pheu Thai memandangkan dasar parti itu yang agak lebih demokratik berbanding dasar parti Thai Rak Thai pimpinan Encik Thaksin yang sudah dibubarkan.

'Tidak timbul apa-apa masalah jika Yingluck mengamalkan cara dan kaedah yang demokratik sungguhpun beliau adalah adik perempuan Thaksin.

'Sekiranya beliau mengamalkan cara dan kaedah yang tidak demokratik, sudah tentulah pengundi akan menolak beliau dalam pilihan raya umum ini, sekali gus tidak boleh menerajui kerajaan berikutnya,' kata Jeneral Sonthi.

Beliau berkata partinya ingin menyertai kerajaan baru agar dapat melaksanakan dasarnya, termasuk berhubung pendidikan, ekonomi dan menyelesaikan masalah di selatan Thailand.

Ditanya sebab beliau memilih kaedah demokratik sekarang dengan menyertai pilihan raya, sedangkan beliau menggunakan cara tidak demokratik menggulingkan pentadbiran Encik Thaksin pada 19 September 2006, beliau berkata rampasan kuasa itu dilancarkan kerana kerajaan ketika itu merupakan diktator.

'Rampasan kuasa 2006 bukanlah untuk memusnahkan demokrasi sebaliknya untuk menyelamatkan demokrasi.'Kerajaan ketika itu tidak demokrasi tetapi sebuah kerajaan diktator dalam ekonomi dan Parlimen... memberi manfaat hanya kepada segelintir orang menerusi monopoli ekonomi dan mengawal kebebasan,' kata Jeneral Sonthi, yang ketika itu merupakan Panglima Angkatan Tentera Thailand. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini