Monday, May 23, 2011
Seniwati Mahyon Ismail meninggal dunia
PETALING JAYA: Seniwati Mahyon Ismail, yang nama sebenarnya Mayayun Ismail, 69 tahun, meninggal dunia 12.30 tengah hari kelmarin, di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.
Menurut anak sulungnya, Cik Dilla Hussein, 47 tahun, ibunya sudah tiga minggu mengalami demam panas dan batuk, tetapi tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan kritikal melainkan kencing manis.
'Semalam arwah mengalami masalah pernafasan dan muntah-muntah. Bila ibu dibawa ke klinik, doktor minta saya dan adik-beradik saya menghantarnya ke hospital kerana kandungan gula dalam badannya tinggi.
'Disebabkan masalah itu, jangkitan berlaku di paru-paru pula. Dalam pukul 10 malam tadi (Jumaat lalu), ibu terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),' katanya dalam laporan laman berita mStar Online.
Cik Dilla tidak menyangka ibunya akan pergi kerana Khamis lalu beliau bersama Allahyarhamha pergi membeli-belah dan meluangkan masa bersama.
'Beberapa minggu ini ada sedikit perubahan pada ibu, yang sungguh berselera makan sedangkan dia begitu teliti tentang pemakanannya.
'Bayangkan, setiap dua jam dia lapar dan mahu makan. Saya masih teringat dia begitu teringin makan ikan terubuk masak cili api dan saya masakkan untuknya,' kata Cik Dilla.
Allahyarhamha, yang merupakan balu pelakon veteran Hussein Abu Hassan, meninggalkan dua lagi anak, iaitu Fairuz, 45 tahun, dan Faizal 43 tahun.
Jenazah Allahyarhamha dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Setapak, selepas syak kelmarin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment