Pages

Monday, May 23, 2011

PKR minta S’gor siasat punca tragedi tanah runtuh

PETALING JAYA: PKR menggesa kerajaan negeri Selangor menyiasat punca terjadinya tanah runtuh yang membabitkan kediaman Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Takwa, Felcra Semungkas Batu 14, Hulu Langat Sabtu lalu.
“Siasatan juga hendaklah dilakukan ke atas semua pembinaan bangunan dilereng-lereng bukit termasuk premis-premis persendirian,” kata Presiden parti itu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata PKR memandang tragedi ini sebagai satu peringatan kepada manusia terhadap kepentingan menjaga keselamatan di tempat tinggal, sekolah, hospital dan terutamanya tempat-tempat anak-anak yatim dan orang-orang tua.
“Sikap tanggungjawab terhadap ciri-ciri keselamatan mesti dititikberatkan agar kejadian sama tidak berulang,” ujarnya.
Wan Azizah turut memuji kecekapan dan ketangkasan anggota keselamatan serta para sukarelawan kerana mereka bertungkus lumus menyelamatkan anak-anak dalam hujan lebat dan keadaan tanah yang masih menunjukkan pergerakan yang tidak menentu.
“PKR mendoakan agar mangsa yang terlibat akan diberikan perhatian untuk mereka dapat kembali dan terus melanjutkan pendidikan mereka.
“Takziah kepada keluarga mangsa semoga mereka tabah dengan ujian besar ini. Kepada anak-anak yang gugur syahid kita doakan agar mereka ditempatkan bersama para muslimin beriman,” katanya.
Dalam kejadian itu Sabtu lalu, seramai 10 kanak-kanak maut, sembilan berjaya diselamatkan dan enam lagi masih hilang.  Gerakan mencari mangsa-mangsa masih berjalan sehingga hari ini.




No comments:

Posting Terkini