KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) samada telah mencapai matlamat sejak diperkenalkan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari Abdul berkata sekiranya program itu tidak mencapai sasaran untuk mewujudkan integrasi kaum, ia sepatutnya dimansuhkan.
“Kerajaan mesti mengkaji PLKN kerana sudah 9 hingga 10 tahun PLKN dilaksanakan, tidak ada kajian ilmiah dibuat. Apakah kebaikan dan sebab munasabah untuk teruskan program yang telah membelanjakan wang sebanyak RM6 bilion. Ini tidak masuk akal.
“Apakah tujuan dan objektif untuk pupuk keharmonian dan integrasi kaum telah tercapai. Sekiranya itu merupakan objektif pelaksanaan PLKN, ia membuktikan tujuan sistem pembelajaran dan pendidikan negara gagal,” ujarnya.
Menurut Johari, setiap pelajar di Malaysia menghabiskan masa kira-kira 12 tahun di alam persekolahan, dan masa yang terbaik untuk memupuk keharmonian sepatutnya bermula peringkat awal lagi.
“Sepanjang tempoh 12 tahun, bermula dari tahun 1 hingga tamat sekolah menengah, kalau masih tak dapat pupuk semangat kekitaan, tak kan lah dalam masa tiga bulan program PLKN ini, ia boleh mencapai integrasi kaum,” katanya yang juga Ahli parlimen Sungai Petani.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad yang mengumumkan kerajaan sama sekali tidak mengurangkan peruntukan program Latihan Khimat Negara (PLKN), meskipun dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.
Johari yang juga bekas Pengarah Biro Tata Negara (BTN) berkata, pada masa ini jumlah peruntukan untuk program itu ialah RM700 juta bagi kesemua 140,000 pelatih yang terlibat setiap tahun.
Menurutnya, beliau percaya bahawa PLKN, hanya bertujuan menguntungkan kontraktor tertentu yang terlibat dalam penyediaan khidmat pengangkutan, pembekalan makanan dan sebagainya.
Ditanya lebih lanjut, Johari berkata sekiranya ia tidak mencapai matlamat dan sasaran, PLKN sepatutnya dimansuhkan atau kerajaan menggunapakai modul khidmat negara yang dijalankan Singapura, Amerika Syarikat, Jerman atau Korea Selatan.
“Ia mesti dikaji, kalau setakat korikulum yang ada sekarang, lebih baik ia dimansuhkan.
“Kecuali jika pelatih-pelatih ini diberi latihan persediaan untuk menjadi tentera simpanan selama dua tahun seperti dijalankan di Singapura, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat,” ujarnya.
Semalam dilaporkan bahawa kerajaan membelanjakan RM46 sehari bagi setiap pelatih yang merangkumi tempat penginapan, makanan dan persiapan modul yang kononnya sebagai pelaburan jangka panjang negara.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, pelaburan itu adalah bagi memastikan integrasi antara kaum yang merupakan pusat graviti negara berjaya dalam usaha mengekalkan keharmonian dalam berbilang bangsa.
No comments:
Post a Comment