Pages

Tuesday, May 24, 2011

Nurul Izzah persoal kos loji kumbahan meningkat RM500 juta


PETALING JAYA: Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar menuntut Kementerian Tenaga dan Teknologi Hijau (KeTTHA) mendedahkan butiran mengenai peningkatan kos sebanyak RM500 juta bagi projek menaik taraf loji kumbahan di Pantai Dalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, anggaran bebas yang dibuat sebelum ini menjangkakan kos tersebut sekitar RM 500 juta, namun meningkat 100 peratus kepada RM 1 bilion.
“Saya menuntut menteri yang bertanggungjawab untuk menjelaskan, sama ada tender itu dibuat secara tertutup.

“Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan kepada rakyat bahawa amalan runding terus akan ditamatkan. Namun, maklumat ini membuktikan program transformasi yang dijaja oleh Barisan Nasional tidak mempunyai sebarang makna,” katanya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Keadilan di Petaling Jaya tengahari tadi.
Hadir dalam sidang media itu Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Jika Kementerian sudah pun berada di peringkat akhir menganugerahkan kerja-kerja tersebut, ini bermakna projek itu telah dibuat secara runding terus. Wang rakyat yang besar ini perlu dibelanjakan secara telus,” kata Izzah merujuk kepada proses naik taraf  Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 di dalam  kawasan yang diwakilinya itu.
Izzah memaklumkan, projek yang telah dilancarkan dua tahun lalu itu dianugerahkan kepada Jaika Holdings dengan menggunakan teknologi berjentera, sesuai dengan piawaian keselamatan terkini mengikut spesifikasi negara maju seperti Jepun.
“Kami mengalu-alukan usaha mengubah loji rawatan kumbahan dari teknologi kolam terbuka. Kita ingin pastikan sama ada ia dibina seperti mana teknologi negara itu, iaitu loji rawatan tertutup,” kata Izzah.
Dengan kos sebesar itu, loji tersebut sepatutnya tidak lagi mengeluarkan bau busuk yang mencemar udara dan mengganggu kesihatan orang ramai seperti sekarang, katanya.
Berikutan itu beliau menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil dalam usaha menghentikan penyalahgunaan dana awam.




No comments:

Posting Terkini