Pages

Sunday, May 22, 2011

Mangsa tanah runtuh, K’jaan Selangor umum bantuan segera


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan segera kepada mangsa tanah runtuh Madrasah Al Taqwa Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, Hulu Langat  hari ini.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri menghantar misi bantuan kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal ke tempat kejadian bagi membantu mangsa dan anggota keluarga mereka.
“Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini,” kata  dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar malam ini.

Selain itu, Menteri Besar Selangor Permerbadanan akan membiayai kos keperluan kepada mangsa dan petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi menyelamat.
Kerajaan Selangor juga mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor bagi memastikan urusan kebajikan.
Buat sementara waktu, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat  sehingga misi menyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.
Dalam pada itu, Khalid berharap keluarga mangsa bersabar dengan kejadian itu.
“Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.
“Menteri Besar serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat,” katanya.
Sehingga kini, enam mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun berjaya dikeluarkan dari tanah runtuhan yang berlaku pada pukul 2.30 petang.
Dilaporkan sehingga pukul 8 malam, sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun. Seramai sembilan mangsa dilapor masih tertimbus dalam runtuhan itu




No comments:

Posting Terkini