Pages

Saturday, May 21, 2011

Bekas Pegawai Khas MB Selangor bebas tuduhan menipu

Warta Kerajaan Rakyat - SHAH ALAM: Bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor Mohd Yahya Mat Sahri dibebaskan daripada tuduhan menipu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) berhubung Majlis Sambutan 100 hari anjuran Pakatan Rakyat tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh di sini hari ini membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes yang dihadapi tertuduh.

“Keputusan ini sekaligus membuktikan tiada bukti untuk mensabitkan tertuduh dengan dakwaan kes,” katanya dalam penghakiman.
Mohd Yahya, 45, dituduh menipu Presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar untuk mempercayai bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi membiayai majlis sambutan itu di Gardenia Coffee House, Quality Hotel di sini pada 4 Jun 2008.
Beliau selaku pengarah program acara itu, dituduh mendorong Abdul Karim menyerahkan wang berjumlah RM50,000 kepada beliau sebagai sumbangan, sedangkan Abdul Karim tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabitkesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda.
Sepanjang prosedur, seramai 28 saksi pendakwaan dikemukakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Gombak Setia Datuk Dr Hassan Ali.
Manakala bagi peringkat bela diri, seramai lapan saksi dikemukakan pihak pembelaan termasuk Adun Teluk Datuk Philip Tan Choon Swee dan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar yang juga Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.
Mohd Yahya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR serta Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR diwakili peguam T Suresh dan Ahmad Nizam Hamid.
Selepas hakim selesai membacakan keputusan, beliau yang hadir berbaju Melayu hijau muda kelihatan sebak dan terus memeluk ahli keluarga serta rakan-rakannya yang hadir dimahkamah bagi memberikan sokongan.
Bersih nama, pulih integriti
Sementara itu, Mohd Yahya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata dirinya terharu dengan keputusan mahkamah yang sekaligus berjaya membersihkan namanya dan memulihkan integritinya daripada tercemar.
“Syukur Alhamdulillah. Keputusan jelas membuktikan saya sepanjang bertugas sebagai pegawai khas kerajaan Selangor tidak pernah
menyalahgunakan kuasa untuk menyeleweng.
“Tuduhan dan laporan yang dibuat kepada SPRM terhadap saya hanyalah bersifat fitnah.
“Saya kini sedang berbincang dengan pihak peguam sama ada mahu mengambil tindakan saman fitnah terhadap individu dan pihak tertentu yang mengadakan cerita untuk menjatuhkan kerajaan Selangor termasuklah akhbar yang melaporkan berita fitnah terhadap saya,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Tanjung Karang meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Selangor pada tahun yang sama beliau dikenakan dakwaan.
Pada 3 November 2009, selain menghadapi tuduhan menipu, Mohd Yahya turut dikenakan pertuduhan kedua menggunakan satu dokumen “Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat Selangor” sebagai tulen sedangkan dia tahu dokumen itu adalah surat pemalsuan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Namun hakim Azhaniz melepas dan membebaskan Mohd Yahya daripada pertuduhan itu pada 1 Disember tahun lalu.




No comments:

Posting Terkini