KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA
SISTEM SPRM HARUS DIUBAH, PERDANA MENTERI HARUS BERTANGGUNG JAWAB
Pihak Angkatan Muda Keadilan Malaysia komited dengan prinsip memerangi rasuah dan usaha kearah menjayakannya. Namun malang, selepas dua insiden yang melibatkan badan yang sepatutnya memerangi rasuah menjadi tragedi sehingga mengakibatkan korban kepada 2 saksi, Mendiang Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohd.
Pihak Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengesali peristiwa yang menimpa Penolong Pengarah KASTAM Arwah Ahmad Sarbani Mohd dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga arwah.
AMK percaya bahawa tragedi seperti ini adalah akibat daripada kepincangan sistem yang dibentuk di dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akibat daripada campur tangan politik Perdana Menteri seperti yang termaktub di dalam Akta SPRM 2009.
Justeru itu, penambahbaikan kepada sistem yang diguna pakai oleh SPRM harus dilaksanakan segera kerana imej institusi itu telah tercalar teruk bukan sahaja di mata rakyat Malayia, malah seluruh dunia.
Dalam aspek ini adalah baik jika Malaysia dapat mencontohi negara yang mempunyai sistem yang baik dalam menangani rasuah seperti Independent Commission Agains Corruption (Hong Kong) dan Singapore Corrupt Practice Investigation Bureau (Singapore)
Kuasa mutlak yang diberikan kepada SPRM melalui Perdana Menteri memberikan ruang kepada penyalahgunaan kuasa bagi mengekalkan cengkaman Barisan Nasional terhadap kemaraan Pakatan Rakyat. Ini dapat kita perhatikan secara jelas dalam kes Teoh Beng Hock
Kuasa Mutlak yang diberikan kepada Perdana Menteri walaupun di dalam akta menasihati agung, tetapi secara praktisnya Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak seperti contoh Bahagian 2, Perkara 5 (1) yang letakkan Yang DIpertuan Agung dengan nasihat Perdana Menteri untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM selama apa-apa tempoh dan syarat yang ditetapkan Perdana Menteri.
Adalah lucu bagi seorang individu yang mempunyai kepentingan politik dan kebarangkalian terlibat dengan kes rasuah yang tinggi mempunyai kuasa mutlak di dalam melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jelasnya , sistem rimba seperti ini akan memberikan tekanan kepada SPRM untuk menurut perintah Perdana Menteri.
Menyedari hakikat ini,Angkatan Muda Keadilan Malaysia ingin mendesak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan tiga tuntutan:
1. Meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawah bidang kuasa parlimen bukan dibawah Perdana Menteri seperti sedia ada. Ini adalah penting untuk memastikan SPRM bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan bukannya Perdana Menteri
2. Menubuhkan badan Pemantauan Bebas proses penyiasatan seperti IPCMC, badan pemantau Polis Diraja Malaysia bagi mengelakkan salah guna kuasa dan kekerasan SPRM.
3. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes kematian Arwah Ahmad Sarbani Mohd yang menjadi misteri kepada selurah rakyat Malaysia.
AMK Malaysia mendesak agar perubahan sistem dilaksanakan terhadap SPRM dan Perdana Menteri harus bertanggungjawap terhadap imej SPRM yang tercalar
SHAMSUL ISKANDAR MD AKIN
No comments:
Post a Comment