Pages

Friday, April 1, 2011

Dun Selangor lulus FOI

Warta Kerajaan Rakyat - SHAH ALAM: Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) Negeri Selangor diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini menjadi satu rang undang-undang.
Enakmen itu dipersetujui sepenuhnya tanpa sebarang pindaan dan kini dikenali sebagai Enakmen Kebebasan Maklumat 2010. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan Elizaberth Wong, proses pelaksanaan enakmen ini memakan masa hampir sembilan bulan untuk dilaksanakan.
Katanya, proses pelaksanaan itu memerlukan inkuiri daripada pihak awam, NGO dan pegawai kerajaan Negeri bagi memberi cadangan kepada Jawatankuasa Pemilihan yang terlibat.
“Tiada negeri yang menggubal FOI……ini merupakan yang pertama dalam sejarah Dun dengan penubuhan jawatankuasa untuk meneliti cadangan FOI ini sehingga menjadi rang undang-undang.
“Walaupun kuasa kerajaan negeri dihadkan oleh perlembagaan namun enakmen ini dilihat dinamik dan kita gembira jika cadangan ini diterima,” katanya ketika membentangkan enakmen itu dalam sidang Dun hari ini.
Bercakap kepada media selepas enakmen diluluskan, Elizaberth berkata perkara utama kini adalah untuk melaksanakannya.
“Ada beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan termasuk membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui kerajaan negeri membentuk satu entiti dilindungi di bawah enakmen.
“Kedua melantik Lembaga Maklumat kerajaan Negeri yang mempunyai latar belakang perundangan, atau bekas peguam dan bebas daripada mana-mana parti politik.
“Ketiga mengurangkan kekangan untuk orang awam memperoleh maklumat,” katanya.
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mencipta sejarah apabila membentangkan rang undang-undang FOI bagi memperkukuhkan hak rakyat mendapat akses kepada maklumat.
Rang undang-undang itu memperuntukan seorang pegawai maklumat ditempatkan di setiap jabatan kerajaan negeri bagi membimbing orang awam dalam mengakses dokumen yang diminta.
Pegawai berkenaan perlu memberi respon dalam tempoh 30 hari atau tujuh hari dalam situasi mengancam nyawa.
Katanya, enakmen itu juga membolehkan penduduk mendapat maklumat tanpa larangan terhadap projek-projek yang dilaksanakan di kawasan masing-masing.
Wakil rakyat BN tidak hadir mesyuarat FOI
Elizaberth turut menyatakan kekesalannya memandangkan dua wakil rakyat bdaripada Barisan Nasional (BN), masing-masing Tanjung Sepat dan Kuang tidak hadir sebarang mesyuarat jawatankuasa yang diadakan.
Namun melalui sokongan kuat dari NGO, peguam dan wakil rakyat Pakatan FOI ini berjaya dicipta.
Menurut Elizaberth, walaupun enakmen itu diluluskan, sebarang cadangan penambahbaikan dalam FOI itu turut dialu-alukan.
“Hari ini enakmen diluluskan dan dalam 5-6 bulan boleh melakukan penambahbaikan dan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat gembira untuk menerima cadangan tersebut.
“Namun saya kesal kerana ada beberapa wakil BN tidak hadir mana-mana mesyuarat Jawatankuasa FOI ini. Sedangkan BN ada peluang mencipta sejarah bersama-sama dengan rakyat Selangor,” katanya.
Sementara itu, selain Elizaberth ahli dalam Jawatankuasa Pemilihan FOI ini termasuklah Adun Hulu Kelang Shaari Sungib (Pengerusi),
Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amiruddin Shari (Batu Caves), Hannah Yeoh (Subang Jaya) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).


No comments:

Posting Terkini