Dalam autobiografi mantan PM dakwa temu bual empat wanita yang diarah jadi habuan seks
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dalam autobiografi yang dikeluarkan semalam mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibekalkan empat wanita bagi mengadakan hubungan seks sebelum beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada September 1998.
Mantan perdana menteri itu berkata beliau ada menemu bual wanita-wanita yang memberitahunya bahawa mereka telah dibawa untuk mengadakan hubungan seks dengan timbalannya ketika itu.
Dr Mahathir menulis bahawa mereka dipujuk agar berbuat demikian oleh seorang lelaki India bernama Nalla, dipercayai Datuk K. S. Nallakarupan, yang ketika itu merupakan rakan Datuk Seri Anwar.
Datuk Nallakarupan telah memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Anwar selepas pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2007.
'Dia telah membawa setiap perempuan secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di sana mereka bertemu dengan seorang yang (mereka) kenali sebagai timbalan perdana menteri.
'Mereka telah diminta menanggalkan pakaian bagi tujuan mengadakan hubungan seks,' tulis Dr Mahathir dalam memoir bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad.
'Dua daripada mereka enggan (mengadakan hubungan seks) tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka sudi bercakap kepada polis dan kepada saya tetapi berkeras tidak mahu muncul di mahkamah memberi keterangan,' kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata beliau memanggil pemimpin Umno termasuk ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar ke kediaman rasminya di Sri Perdana di sini untuk memberi taklimat mengenai perkara itu dan menunjukkan mereka gambar para saksi.
'Dia mengisytiharkan dia tidak melakukan sesuatu yang luar biasa dan menegaskan bahawa setiap orang termasuk kesemua ahli Majlis Tertinggi memang ada berbuat demikian,' tulis Dr Mahathir mengenai pendirian Datuk Seri Anwar membela dirinya di hadapan kepimpinan tertinggi Umno.
'Ketika penjelasan panjang lebar, Anwar tidak pernah dirujuk kepada soal hubungan homoseks, hanya fokus hubungan dengan wanita,' katanya, lapor laman The Malaysian Insider, semalam.
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa beliau buat pertama kali diberitahu mengenai aktiviti homoseksual Datuk Seri Anwar pada awal 1990-an oleh ketua polis ketika itu, Tun Haniff Omar.
Katanya, beliau diberikan buku berjudul 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri, tetapi menolaknya kerana ia berunsur 'sensasi' hanya untuk mendapatkan duit.
Kata Dr Mahathir, pada 1997, Cik Ummi Hafilda Ali, adik Timbalan Presiden PKR, Encik Azmin Ali, menghantar surat kepadanya dengan dakwaan khusus mengenai tingkah laku liwat Datuk Seri Anwar.
Wednesday, March 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment