Wednesday, March 9, 2011
Mahkamah putuskan sampel DNA Anwar tidak boleh jadi bukti
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah, semalam memutuskan sampel DNA telah diambil secara tidak sah daripada lokap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini bermakna tuala 'Good Morning', berus gigi dan botol air mineral serta sampel-sampel DNA yang diperoleh daripada ketiga-tiga barang itu tidak boleh digunakan sebagai bukti terhadap kes liwat Datuk Seri Anwar.
Ketiga-tiga barang berkenaan diperoleh daripada lokap bahagian jenayah berat ibu pejabat kontinjen Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008.
Datuk Seri Anwar ditahan di lokap itu semalaman sehari sebelumnya.
'Saya memutuskan dalam kes ini, sampel-sampel DNA daripada tiga barang ini - tuala 'Good Morning', botol air dan berus gigi diambil menggunakan cara tidak sah daripada tertuduh... dan dikeluarkan daripada sebahagian daripada bahan bukti,' kata Datuk Mohd Zabidin.
Beliau membuat keputusan itu di akhir 'perbicaraan dalam perbicaraan' sama ada sampel DNA yang diambil daripada ketiga-tiga barang itu boleh diperoleh sebagai bukti.
Datuk Seri Anwar, 63 tahun, didakwa meliwat pembantu peribadinya Encik Mohd Saiful, 25 tahun, pada 26 Jun 2008.
Sehubungan keputusan itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, berkata pihak pendakwaan belum bersedia meneruskan perbicaraan, meskipun beliau mempunyai tiga saksi lagi.Perbicaraan kemudian ditangguhkan hingga hari ini.
Kes pihak pendakwaan tertumpu kepada usaha mengaitkan Datuk Seri Anwar kepada DNA yang didapati pada Encik Mohd Saiful.
Seorang ahli kimia kerajaan Malaysia memberitahu mahkamah ada sampel air mani yang ditemui pada Encik Mohd Saiful mengandungi profil DNA yang dilabelkan milik 'Lelaki Y' yang, menurutnya, juga terdapat pada berus gigi, tuala kecil dan botol air yang diserahkan polis.
Mengulas keputusan itu apabila ditemui wartawan, Datuk Seri Anwar berkata:
'Saya sangat berbesar hati atas keputusan ini dan ini hanya menyokong apa yang saya telah katakan sebelum ini bahawa saya telah didakwa secara tidak adil oleh pihak berkuasa dalam usaha mereka untuk menutup mulut saya.' - Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment