Pages

Sunday, February 13, 2011

Tidak mustahil ‘pentadbiran Umar Abdul Aziz’ di Mesir

dr parid
SERI KEMBANGAN – Sekiranya kerajaan baru yang bakal memimpin Mesir berwibawa, berkebolehan dan didukung oleh kumpulan yang mempunyai kelayakan serta mendapat sokongan rakyat, mereka akan mampu membawa perubahan seperti sejarah pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz dalam masa dua tahun sahaja, dan keadaan akan kembali ke situasi normal, malah di kemuncak kemakmuran. Demikian pandangan optimis Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Parid Sheikh Ahmad ketika diwawancara wartawan IKRAMedia di ibu pejabat IKRAM.
“Realitinya, melalui sejarah kebangkitan rakyat di seluruh dunia, pemerintah diktator akan beransur-ansur berakhir.”

Tsunami revolusi tersebut secara automatik banyak meninggalkan kesan. Kuasa rakyat terbukti dapat meruntuhkan pemerintahan walaupun didukung oleh kuasa barat. Di mana-mana pun, mereka yang tidak mengikut rentak aspirasi rakyat pasti akan berasa gentar, takut kalau-kalau perkara sama akan berlaku di tempat masing-masing. Begitulah resahnya para politikus Amerika, Israel dan yang bersekutu dengannya, dan sekiranya diganti dengan pentadbiran yang baru, tidak semestinya ia akan menyokong dasar-dasar sedia ada.
“Kebangkitan rakyat adalah disebabkan mereka telah ditindas oleh rejim diktator untuk tempoh yang lama oleh Mubarak; dalam tiga dekad sebelumnya Presiden Sadat, Presdien Jamal Abd Nasir dan sejak Revolusi Tentera Mesir pada 1992,” ujar beliau lagi.
Beliau menegaskan bahawa Ikhwanul Muslimin adalah ‘partner’ dan bukannya ‘lead’ dalam isu kebangkitan rakyat ini sebagaimana memetik kenyataan Ketua Umum Ikhwanul Muslimin itu sendiri, Dr Ahmad Badi`, pada 6 Febuari lalu.
“Berkali-kali kami ulangi pendirian kami. Kami bukanlah pendesak agar kekuasaan diberikan kepada kami. Kami tidak berkepentingan untuk meraih sebarang jawatan (kerajaan baru), sebab itu kami tidak pernah mencadangkan sesiapa daripada kami untuk menggantikan Mubarak.”
Sehubungan hal tersebut, sedikit sebanyak kebangkitan rakyat Mesir memberi impak kepada negara kita kerana melalui kuasa rakyat, mekanisme untuk mewujudkan perubahan dapat direalisasikan. Oleh hal yang demikian, sewajarnyalah pihak kerajaan melayani karenah rakyat untuk mengelakkan terjadinya perkara serupa.
Namun menurut Dr Parid lagi, IKRAM mengambil pendekatan untuk mewujudkan perubahan melalui jalan damai yang bermaksud mengamalkan perbincangan di peringkat akar umbi. “Dan kita tidak nampak kemungkinan akan berlakunya (peristiwa) seperti di Dunia Arab itu (di sini),” katanya.
Dalam pada itu, pelbagai langkah akan disusun bagi memastikan pelajar-pelajar yang dihantar pulang diisi ruang waktu mereka dengan kegiatan-kegiatan yang berfaedah. IKRAM akan menjamin penerusan akademik dan memastikan kecemerlangan peribadi mereka seiringan.
“Insya-Allah, kita merancang usaha-usaha untuk mereka melanjutkan pengajian, sama ada di Mesir atau di Malaysia agar mereka dapat meneruskan pelajaran mereka sebaik mungkin,” tambah beliau mengakhiri perbualan.

No comments:

Posting Terkini