Pages

Thursday, February 17, 2011

Kes Beng Hock: S’ngor gesa Suruhanjaya Diraja panggil Dr Pornthip


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menggesa Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock supaya memanggil pakar Forensik dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai saksi utama dalam kes tersebut.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri sanggup membiayai semua kos memanggil pakar berkenaan.
“Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock wajar memanggil balik Dr. Pornthip Rojanasunand sebagai saksi.
“Kerajaan negeri sanggup membiayai kos Dr. Pornthip Rojanasunand untuk kembali memberi keterangan dalam penyiasatan Suruhanjaya Diraja,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Harakahdaily melaporkan keluarga Teoh Beng Hock memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan melantik timbalan pendakwaraya (DPP) dari pejabat peguam negara sebagai pegawai Suruhanjaya DiRaja itu.
Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Amarjeet Singh didakwa tidak dapat bertindak secara bebas disebabkan semakan kehakiman itu.
Peguam bagi pihak keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya juga akan memohon Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan suruhanjaya meneruskan inkuiri meskipun masih menunggu semakan di mahkamah lain.
Suruhanjaya itu juga hari ini menerima tamparan hebat apabila keluarga mendiang menarik diri daripada prosiding. Berikutan itu juga, peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo mengumumkan mereka akan berundur diri daripada terbabit dengan perbicaraan.
“Kami tidak mahu ambil bahagian kerana tidak yakin dengannya,” kata Karpal.
Teoh yang merupakan pembantu kepada exco kerajaan Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas disoalsiasat semalaman di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14 bangunan tersebut.
Suruhanjaya ini dijangka menyelesaikan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April ini.
` keadilandaily

No comments:

Posting Terkini