Pages

Friday, February 4, 2011

Australia bersiap hadapi taufan raksasa



SELAMATKAN DIRI DAHULU: Seorang budak perempuan menunggu giliran masuk ke sebuah tempat perlindungan taufan di sebuah pusat beli-belah di Cairns, semalam. Taufan Yasi, yang diberi kategori 5, peringkat paling berbahaya, dijangka sampai ke darat malam semalam. -- Foto REUTERS


CAIRNS (Australia): Pihak berkuasa merayu kepada ribuan warga Australia semalam supaya segera mengumpulkan orang tersayang dan melarikan diri daripada satu taufan raksasa yang berubah menjadi kuat semalaman dan mengancam membawa ribut dahsyat dan hujan di timur laut negara itu.

Angin kencang yang boleh mencapai kelajuan 300 kilometer sejam dijangka apabila Taufan Yasi, yang diletakkan di bawah kategori 5, peringkat paling berbahaya melanda malam ini.


Bahagian depan ribut itu berukuran seluas lebih 500 meter dan ia begitu kuat sehingga boleh sampai jauh ke pedalaman.

Ketua Negeri Queensland, Cik Anna Bligh, menggesa penduduk di kawasan rendah supaya keluar segera kerana jalan-jalan dan lapangan terbang akan tutup dalam beberapa jam.

Taufan Yasi dijangka sampai ke darat sekitar 10 malam waktu tempatan, menurut Biro Meteorologi.

Ia dijangka tiba selepas air pasang, yang bermakna paras air mungkin naik sekurang-kurangnya 2 meter dan boleh membanjiri banyak kawasan pinggir laut.

'Yasi membawa ancaman serius ke atas nyawa dan harta benda,' kata biro itu sambil menambah bahawa ia mungkin 'lebih berbahaya daripada taufan yang pernah dialami sejak beberapa generasi lalu'.

Cik Bligh berkata penduduk di kawasan berhampiran laut sepatutnya sudah keluar kerana kawasan itu akan mengalami banjir.

Mereka yang tinggal jauh di pedalaman pula dinasihatkan supaya mencari perlindungan di dalam rumah dan bersiap menghadapi angin kencang.

'Kita akan hadapi ribut berbahaya di kawasan yang banyak penduduk,' kata Cik Bligh. 'Ini mungkin masa paling menakutkan. Kita jangkakan ribut dahsyat selama 24 jam, hujan mencurah-curah dan hubungan elektrik serta telefon bimbit terputus. Paling tidak, rakyat harus bersedia secara mental.'

Ribut itu dijangka tiba di kawasan antara Cairns - sebuah bandar dengan 164,000 penduduk, yang juga pintu masuk bagi pelawat ke Great Barrier Reef - dengan Innisfail, satu kawasan luar bandar sekitar 100 kilometer ke selatan, yang dimusnahkan Taufan Larry pada 2006.

Larry memusnahkan ribuan rumah dan ladang pisang dan tebu, namun tiada orang maut.

Lapangan Terbang Cairns ditutup semalam, sementara pelancong-pelancong berpindah dari kawasan peranginan tepi laut. Pesawat tentera pula telah membawa mereka yang tua dan sakit ke hospital-hospital di selatan.

Menurut Cik Bligh, seramai 9,500 orang sudah pun berada di pusat perlindungan sementara petang semalam. -- AP.

No comments:

Posting Terkini