Pages

Tuesday, February 15, 2011

Aset Mubarak di Switzerland dibeku

Bekas presiden Mesir dipercayai telah pindahkan kekayaan ke akaun luar negara yang tidak dapat dikesan


KAHIRAH: Switzerland telah membekukan semua aset milik bekas presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, dan sekutu beliau, sedang negara-negara lain digesa turut berbuat demikian.

Namun Encik Mubarak dipercayai telah menggunakan masa sepanjang bantahan 18 hari terhadapnya untuk memindahkan kekayaannya ke akaun luar negara yang tidak dapat dikesan.

'Kami tahu anggota keluarga Mubarak berbual mengenai cara menyelamatkan aset mereka. Penasihat kewangan mereka sudah memindahkannya. Jika beliau ada wang di Zurich, ia mungkin sudah tiada sekarang,' kata sumber perisikan Barat.

Encik Mubarak dituduh memiliki kekayaan lebih £3 bilion ($6.1 bilion), tetapi ada memberi angka sehingga £70 bilion, selepas memerintah 30 tahun.



Antara aset itu ialah wang di bank asing, pelaburan, jongkong emas dan hartanah di London, New York, Paris dan Beverly Hills.

Malah, anak lelaki Encik Mubarak, Encik Gamal, dilaporkan sempat berparti di sebuah kelab malam di Tramp di sini hujung minggu lalu dengan satu bil champagne mencecah £16,000.

Sumber perisikan itu berpendapat Encik Mubarak, 82 tahun, mungkin belajar daripada kesilapan diktator Tunisia, Encik Zine El Abidine Ben Ali, yang lari ke Arab Saudi diikuti dengan tindakan Switzerland membekukan akaun bank beliau yang mempunyai AS$620 juta ($793 juta).

Duta Mesir ke London, Encik Hatem Seif el Nasr, berkata beliau tidak ada maklumat mengenai aset Encik Mubarak.'Secara jujur, saya tidak tahu-menahu langsung mengenai wang (milik Encik Mubarak),' katanya kepada BBC TV.

Terbaru, Pejabat Penipuan Serius (SFO) Britain melancarkan operasi mengesan aset dan wang tunai Encik Mubarak di Britain, lapor akhbar Sunday Times tanpa memberitahu sumber langkah itu.

Ketua SFO, Encik Richard Alderman, berkata: 'Masyarakat menjangka kami mencari wang itu jika tahu di mana dan cuba memulangkannya bagi kebaikan penduduk negara itu.'

Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, dilaporkan menerima tekanan hebat supaya segera membekukan aset berjumlah £5 bilion yang disimpan di negara itu oleh Encik Mubarak.

Britain boleh membekukan sebarang aset yang ada kaitan dengan Encik Mubarak jika diminta Kesatuan Eropah (EU) atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pemerintah Mesir.

Pihak berkuasa tentera mengumumkan keputusan membubar parlimen Mesir dan menggantung perlembagaan negara itu kelmarin, dua hari selepas Encik Mubarak meletak jawatan selepas 30 tahun berkuasa.

Majlis tertinggi tentera berkata mereka akan kekal dalam kuasa selama enam bulan atau sehingga satu pilihan raya baru diadakan.

Pilihan raya mungkin diadakan Julai atau Ogos ini, bukan September sebagaimana diumum sebelum ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Encik Ahmed Syafiq, berkata Encik Mubarak masih berada di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini