Monday, February 14, 2011
Angin tuntut demokrasi ke Algeria pula
POLIS LEBIH DARIPADA PERUSUH: Sekitar 50 orang melaungkan slogan antipemerintah di sebuah dataran di ibu kota Algeria kelmarin dengan dikelilingi oleh ratusan anggota polis yang cuba menghalang berlakunya pemberontakan seperti di Mesir. -- Foto REUTERS
Ribuan himpun desak diadakan pembaharuan
ALGIERS: Walaupun bilangan mereka tidak sebanyak polis pencegah rusuhan, beribu-ribu warga Algeria mengingkari amaran pemerintah dan memecahkan kepungan untuk berhimpun di ibu kota Algeria menuntut pembaharuan demokrasi, sehari selepas bantahan besar-besaran menyingkirkan pemimpin Mesir.
Penunjuk perasaan yang melaungkan 'Tidak kepada negara polis!' dan membawa sepanduk berbunyi 'Pulangkan Algeria milik kami' bertempur dengan polis yang memegang belantan dan memakai topi keledar, kelmarin
Para penganjur berkata lebih 400 orang telah ditahan sementara tetapi tidak ada sebarang keganasan dilaporkan.Algeria telah lama dipimpin oleh sebuah pemerintah yang menindas.
Faktor-faktor seperti kemiskinan dan pengangguran yang berleluasa mencetuskan pemberontakan seperti yang berlaku di dua negara Afrika utara sebulan lepas.
Pembangkang di Algeria berkata kedegilan perusuh di Algeria menghadapi satu sekatan lama ke atas bantahan awam di Algiers merupakan satu titik perubahan.
'Bantahan ini berjaya kerana sudah 10 tahun orang awam dilarang berarak di Algiers kerana terdapat semacam halangan psikologi,' kata Encik Ali Rachedi, mantan ketua parti Front of Socialist Forces.'Ketakutan serupa ini kini sudah berakhir.'
Para penganjur tunjuk perasaan berkata sekitar 26,000 anggota polis pencegah rusuhan dihantar untuk menamatkan perhimpunan itu kelmarin tetapi dianggarkan 10,000 orang berjaya melanggar dan melepasi kepungan- kepungan dan berhimpun di tengah bandar sebelum rusuhan itu disuraikan.
Para pegawai menganggarkan seramai 1,500 menghadiri perhimpunan tersebut.
Algeria menjadi semakin tegang sejak Januari lepas, yang menyaksikan rusuhan selama lima hari yang menyebabkan tiga orang terkorban.
Rusuhan itu adalah sebagai membantah kenaikan harga makanan.
Presiden Abdelaziz Bouteflika melaksanakan sistem satu parti di Algeria sejak negara itu mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada 1962, namun kuasa dan pengaruhnya kini dikatakan semakin lemah.
Beliau diiktiraf kerana membantu negara itu pulih daripada satu pemberontakan ganas pada 1990-an yang mengorbankan sekitar 200,000 jiwa.
Namun, pembangkang berkata Encik Bouteflika sepatutnya sudah lama menamatkan perintah darurat yang berkuat kuasa sejak awal pemberontakan tersebut.
Menurut mereka, beliau belum mengambil langkah secukupnya untuk membantu kebanyakan daripada 35 juta rakyat Algeria walaupun ia kaya sumber gas dan minyak.
Minggu lalu, kerana sedar akan pemberontakan di Tunisia dan Mesir, Encik Bouteflika berkata perintah darurat itu akan dimansuhkan 'tidak lama lagi' tetapi tunjuk-tunjuk perasaan di Algiers tetap diharamkan.
Rakyat tetap berdegil dan apa yang mula dirancangkan sebagai perarakan 5 kilometer melalui tengah bandar itu akhirnya menjadi satu perhimpunan beberapa jam di Dataran First of May.
Penganjur menuntut diadakan pembaharuan demokrasi tanpa khusus menuntut Encik Bouteflika berundur. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment