SINGAPURA dan Hongkong merupakan bandar-bandar pilihan para pelabur sejagat bagi meluaskan pelaburan hartanah mereka bagi 12 bulan mendatang, menurut satu tinjauan.
Malah, di kalangan para pelabur Asia sendiri, mereka juga berminat melabur dalam ruang pejabat di Singapura, Hongkong dan Shanghai.
Tinjauan Pelabur Sejagat firma rundingcara hartanah Colliers International dijalankan dari 15 Ogos hingga 7 September lalu.
Sebanyak 200 pelabur institusi dan swasta yang mempunyai portfolio pelaburan keseluruhan sebanyak AS$710 bilion ($914 bilion) menyertai tinjauan itu.
Dalam tinjauan itu, 60 peratus pelabur sejagat berminat meluaskan portfolio hartanah mereka bagi setahun mendatang.
Majoriti atau 70 peratus tidak berminat dalam pelaburan luar sempadan, berbanding 30 peratus yang berminat melabur di luar negara.
'Di kalangan pelabur yang bersedia melabur di luar negara, mereka telah mengenal pasti bandar-bandar seperti New York, Chicago, San Francisco, Washington, London, Sydney, Singapura dan Hongkong,' menurut kenyataan Colliers.
Di kalangan pelabur Asia, 59 peratus responden berminat membeli hartanah di luar negara mereka.
Sebanyak 91 peratus pelabur Asia berminat membeli hartanah di rantau Asia bagi 12 bulan mendatang bagi suku ketiga tahun ini, berbanding 78 peratus pada suku pertama.
Peratusan tinggi pelabur Asia yang minat membeli hartanah di Asia didorong oleh jangkaan rantau ini akan tumbuh kukuh.
Sebanyak 75 peratus responden tidak menjangkakan rantau ini akan mengalami kemelesetan berganda kerana yakin pemerintah mereka akan campur tangan bagi memastikan tidak berlaku krisis.
Mengulas dapatan tinjauan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Colliers International, Encik Piers Brunner, berkata: 'Tinjauan ini menunjukkan para pelabur Asia amat yakin dengan asas makro di rantau ini. Pinjaman peribadi dan korporat adalah rendah, kadar faedah juga rendah manakala mudah tunai adalah tinggi.'
Namun, terdapat kebimbangan di kalangan pelabur Asia mengenai ketidaktentuan dalam dasar pemerintah bagi meredakan pasaran hartanah yang panas, perubahan mudah tunai pasaran dan kenaikan kadar faedah.
Sebanyak 55 peratus pelabur Asia merancang menjual hartanah mereka bagi 12 bulan mendatang pada suku ketiga tahun ini, berbanding 39 peratus pada suku pertama.
Sehingga 36 peratus pelabur pula ingin menjual pelaburan hartanah mereka di luar negara, berbanding 17 peratus pada suku pertama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment