JAKARTA: Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dan Wanita Pertama, Cik Michele Obama, mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta, sekitar 4.20 petang dalam cuaca hujan renyai diiringi dentuman guruh semalam.
Ketibaan Encik Obama disambut Gabenor Jakarta, Encik Fauzi Bowo, Menteri Luar, Encik Marty Natalegawa, dan beberapa pegawai kanan termasuk Duta Besar Indonesia ke Amerika, Encik Dino Patti Djalal, dan Duta Besar Amerika ke Indonesia, Encik Scott Marciel.
Encik Obama menunjukkan beliau masih menguasai bahasa Indonesia apabila bertanya kepada Encik Marty Natalegawa, 'Apa khabar?', sebelum naik limousin menuju ke Istana Merdeka.
Kawalan keselamatan diperketat di Jakarta sempena lawatan Encik Obama. Sekitar 9,000 pegawai polis dan askar dikerah bagi memastikan keselamatan Encik Obama semasa lawatan beliau ke negara itu, kata jurucakap polis Jakarta, Pesuruhjaya kanan Boy Rafli.
Encik Obama pernah tinggal di Indonesia selama empat tahun bersama ibunya dari usia enam hingga 10 tahun.
Tetapi kali ini beliau tidak berpeluang melancong dalam lawatan singkat selama 24 jam bertujuan meningkatkan hubungan perdagangan dengan Indonesia dan memperbaiki hubungan dengan Dunia Islam.
Jurucakap Rumah Putih, Encik Robert Gibbs, malah memberitahu pemberita bahawa letupan Gunung Merapi di Yogyakarta mungkin memaksa Encik Obama memendekkan lawatan beliau.
Dalam satu sidang akhbar bersama Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, Encik Obama berkata Amerika berada di 'landasan yang betul' bagi memperbaiki hubungan dengan Dunia Islam.
Menurut Encik Obama, beliau mahu memastikan Amerika 'membina jambatan dan meluaskan interaksi dengan negara Islam'.
Tetapi, ada perbezaan dasar yang tidak dapat dielakkan, kata beliau.
Dr Yudhoyono berkata Indonesia dan Amerika berikrar akan bekerjasama rapat dalam kempen memerangi pengganasan.
'Kami menekankan kerjasama memerangi pengganasan, kerana pengganasan adalah musuh setiap negara,' kata Dr Yudhoyono.
Menurut beliau, Amerika dan Indonesia telah memeterai satu perjanjian 'Perkongsian Komprehensif' bertujuan meningkatkan hubungan ekonomi dan bidang lain.
'Kami akur meningkatkan kerja- sama dalam pelbagai sektor, terutama perdagangan dan pelaburan, pendidikan, tenaga, iklim dan sekitaran, keselamatan dan demokrasi,' tambah beliau.
Hari ini Encik Obama dijadual berucap di Masjid Istiqlal, menyampaikan kuliah umum di kampus Universiti Indonesia di Depok, dan mengakhiri lawatan dengan mengunjungi Makam Pahlawan di Kalibata.
Duta Besar Indonesia ke Amerika, Encik Dino Patti Djalal, berkata kedatangan Presiden Obama ke Indonesia menandakan peningkatan hubungan Indonesia-Amerika. -- Agensi.
No comments:
Post a Comment