NEW YORK: Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, semalam menyifatkan pilihan raya umum Myanmar 'tidak cukup telus' dan sekali lagi menggesa junta negara itu membebaskan tahanan-tahanan politiknya.
Asean pula, sebaliknya, mengalu-alukan pilihan raya pertama Myanmar sejak tempoh dua dekad lalu sebagai satu 'langkah ke hadapan yang penting' dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh media rasmi Vietnam, yang mempengerusikan kumpulan serantau itu.
Encik Ban melahirkan kebimbangan beliau mengenai laporan-laporan pertempuran antara askar pemerintah Myanmar dengan kumpulann pemisah puak minoritinya sejak pilihan raya Ahad lalu, 'dan menggesa semua pihak supaya menahan diri daripada tindakan yang boleh menambahkan lagi ketegangan atau mengakibatkan ketidakstabilan pada waktu yang sensitif ini', kata jurucakap beliau dalam satu kenyataannya.
Pemimpin PBB itu, yang sering melahirkan kekecewaan beliau terhadap sikap para jeneral pemerintah Myanmar, percaya 'proses undian dilakukan dalam keadaan yang tidak cukup telus,' kata kenyataan itu.
Pilihan raya Ahad lalu dikecam oleh sebahagian masyarakat antarabangsa dan pihak pembangkang Myanmar sebagai satu 'kepura-puraan'.
Parti-parti projunta dijangka memenangi kebanyakan kerusi dalam dewan perundangan baru Myanmar dan para pemimpin pembangkang daripada parti yang dipimpin pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Cik Aung San Suu Kyi, diharamkan daripada mengambil bahagian.
'Sejajar komitmen mereka, pihak berkuasa harus menunjukkan bahawa proses pengundian itu adalah sebahagian daripada peralihan boleh dipercayai ke arah pemerintah demokratik, perdamaian nasional dan menghormati hak asasi,' kata kenyataan pemimpin PBB itu.
Asean pula menyifatkan pilihan raya sebagai satu langkah penting ke arah perubahan di negara itu.
'Asean menggalakkan Myanmar agar terus mempercepatkan proses perdamaian nasional dan pendemokrasian di negara itu,' kata kenyataan kumpulan serantau itu. -- AFP.
Wednesday, November 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment