Pages

Thursday, November 11, 2010

Suu Kyi dijangka dibebaskan Sabtu ini

Aung San Suu Kyi
YANGON: Persiapan sedang dibuat bagi membebaskan pemimpin pembangkang Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, kata para pegawai semalam, selepas parti proksi junta tentera mendakwa mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Ahad lalu.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu, yang dipenjarakan hampir dua dekad, dijangka dibebaskan Sabtu ini.

'Kami belum mendapat sebarang arahan daripada pegawai atasan bagi pembebasan beliau, tetapi sudah menyiapkan rancangan keselamatan bagi 13 November,' kata seorang pegawai pemerintah kepada AFP.

Para peguam Cik Suu Kyi berkata tempoh penahanan sekarang bermula pada 14 Mei tahun lepas, dan mereka menjangka beliau akan dibebaskan Sabtu ini.

Namun sesetengah pihak khuatir junta tentera Myanmar, yang diketuai Jeneral Than Shwe, mungkin mencari alasan untuk terus menahan Cik Suu Kyi.

Seorang lagi pegawai berkata: 'Kami belum mendapat arahan. Ia mungkin pada saat akhir.'

Penahanan Cik Suu Kyi dilanjutkan selama 18 bulan lagi pada Ogos tahun lepas menyusuli insiden seorang lelaki rakyat Amerika berenang merentas tasik untuk pergi ke rumah beliau. Ekoran insiden itu, Cik Suu Kyi terlepas peluang bertanding dalam pilihan raya Ahad lalu.

Peguam beliau semalam berkata Cik Suu Kyi akan mengadakan satu sidang akhbar di ibu pejabat Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) jika beliau dibebaskan.

Ini membayangkan beliau besar kemungkinan akan menentang sebarang percubaan oleh pihak berkuasa yang hendak menyekat aktiviti politiknya.

Pembebasan Cik Suu Kyi disifatkan para pengamat sebagai satu percubaan oleh junta tentera hendak menolak kritikan terhadap pilihan raya Ahad lalu yang dicap banyak pihak hanya sebagai satu sandiwara dan penipuan.

NLD dibubarkan selepas ia memulaukan pilihan raya. Keputusan NLD itu menyebabkan pembangkang Myanmar berpecah.

Sebahagian anggota keluar daripada NLD lalu membentuk Pasukan Demokratik Nasional (NDF).

Namun sebagai parti pembangkang terbesar, NDF memenangi cuma 10 peratus daripada 164 kerusi yang ditandingi.

Parti Kesatuan Perpaduan dan Pembangunan (USDP) yang disokong pihak tentera mendakwa telah memenangi 80 peratus kerusi.

Pembangkang kedua terbesar, Parti Demokrat, tidak memenangi sebarang kerusi.

Dengan satu perempat kerusi di parlimen dikhaskan untuk pihak tentera, ia dan parti proksinya menguasai majoriti selesa bagi meluluskan sebarang undang-undang dan melantik presiden. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini